Belajar terima kebiasaan baru budaya politik


Hishamuddin Rais

Pemimpin PH dan BN bertemu bagi membincangkan kerjasama kedua-dua gabungan untuk membentuk kerajaan yang berlangsung pada Isnin lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 23 November, 2022.

UBAH berubah dan semua yang wujud dalam alam ini akan berubah. Hidup kita berubah. Tidak ada satu apa pun dalam alam semesta ini yang terus tetap tanpa berubah. Yang terus menerus tetap hanya perubahan.

Budaya, gaya hidup, bahasa, ilmu pengetahuan, teknologi dan politik akan terus berubah. Bunga jadi putik jadi buah dan gugur masak. Bayi jadi besar, jadi kanak-kanak, mendewasa, tua kemudian wafat.

Kita tidak perlu jadi ilmuwan hebat untuk memahami konsep perubahan ini. Tak perlu jadi pakar sains atau ahli falsafah untuk memahami ini. Diri kita sendiri adalah contoh perubahan.

Dulu saya masuk sekolah darjah satu pakai papan batu. Hari ini papan batu hanya jadi ingatan. Hari ini pen dan kertas diperkenal sebelum masuk ke sekolah. Jadi bahan mainan.

Dulu rumah pakai lampu pelita dan air perigi. Kini api dalam kaca dan air dalam besi. Kita jalan kaki, naik basikal, naik motosikal, naik kereta, naik kapal terbang dan naik roket ke bulan.

Jika semua berubah maka politik kita juga berubah.

Selepas PRU14 kita lihat hegemoni Barisan Nasional (BN) yang dikepalai oleh United Malays National Organisation (Umno)  runtuh. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan. Kemudian naik Muhyiddin Yassin dan kemudian naik Ismail Sabri Yaakob.

Babak-babak ini mengejutkan kita warga Malaysia. Ini dilihat baru terjadi di Malaysia. Kita tidak ada rujukan dan tidak ada pengalaman. Ini satu perkara baru untuk politik kita di Malaysia.

Tapi bukan satu yang baru dalam budaya politik di negara lain di dunia. Di United Kingdom berlaku penggantian Perdana Menteri Liz Truss yang jadi perdana menteri hanya untuk beberapa minggu.  Liz diganti oleh Rishi Sunak.

Di Israel dalam masa empat tahun ada lima  pilihan raya. Untuk negara-negara ini perubahan sedemikian bukan satu yang baru. Untuk warga negara ini semua yang berlaku bukan kebiasaan baru. Ia perkara biasa yang lama telah mereka alami.

Untuk kita di Malaysia Langkah Sheraton kelihatan baru. Yakinlah politik seperti Langkah Sheraton dalam masa yang tidak lama akan menjadi satu kebiasaan baru – new normal – untuk budaya politik kita.

Justeru kita tidak ada pilihan. Kita wajib bersedia berhadapan dan menerima kebiasaan baru ini. Budaya politik dulu telah dikambus sejarah.

Apabila Dr Mahathir Mohamad dilantik kembali untuk menjadi perdana m kali kedua kita bertanya apakah ini betul. Ia sesuatu yang baru untuk politik Malaysia. Jika Muhyiddin mencalonkan dirinya untuk menjadi perdana menteri sekali lagi ini adalah kebiasaan baru.

Netanyahu di Israel menjadi perdana menteri sekali lagi.  Turun naik kemudian turun dan naik sosok perdana menteri bukan satu yang baru di Israel. Tahun 2022 adalah kali ketiga Netanyahu menjadi perdana menteri.

Lula da Silva kalah kerusi presiden Brazil pada tahun 2011. Bulan Oktober 2022 Lula dipilih sekali lagi untuk jadi presiden Brazil. Ini bukan baru untuk politik Amerika Latin.

Dr Mahathir jadi perdana menteri untuk kali kedua, Lula jadi presiden untuk kali kedua, Netanyahu jadi perdana menteri untuk kali ketiga bukan satu yang baru. Malah Muhyiddin mencalonkan diri untuk jadi perdana menteri kali kedua adalah watak dan ciri politik undi – electoral politic.  

Ciri dan watak budaya politik undi ini wajib kita  terima sebagai kebiasaan baru. Kita tidak perlu terperanjat bila membaca Donald Trump akan mencalonkan dirinya sekali lagi untuk menjadi presiden pada 2024.

Politik undi berbeza dengan politik de facto seperti di Korea Utara atau di China Merah. Politik undi tidak wujud di Brunei atau di Arab Saudi.

Satu ketika dahulu kerajaan de facto dialami oleh warga Indonesia bawah Jeneral Suharto selama 31 tahun.

Setelah Suharto dijatuhkan pada 1998 maka Indonesia mengalami kebiasaan baru. Presiden silih berganti. Muncul Habibi, Gus Dur, Megawati, Susilo dan hari ini Presiden Jokowi.

Pertukaran presiden di Indonesia menjadi kebiasaan baru dan kini menjadi satu yang biasa. Pertukaran sosok presiden tidak dilihat pelik atau dibaca ganjil.

Ini tanda kekuatan politik undi.

Kita di Malaysia baru hendak bermula dengan pergantian perdana menteri. Bukan sahaja akan mendapat perdana menteri baru malah akan dapat perdana menteri baru dari parti yang baru juga.

Setelah Inggeris meninggalkan kuasa kepada Umno – semenjak tahun 1955 hingga tahun 2018 – Tanah Melayu dan kemudian Malaysia telah diperintah oleh satu parti yang dominan.

Dominasi Umno melalui Perikatan Nasional dan kemudian BN menjadikan kita gagal melihat cara dan pendekatan baru.

Kita diperangkap oleh kebiasaan lama. Bila politik baru sampai kita gugup. Kita terperanjat politik.

Apa yang membawa kebiasaan baru ini?

Dari sudut pandang materialis, kebiasaan baru ini wujud akibat dari proses pembuatan dan penggunaan.

Untuk memudah fahami yang memangkin kebiasaan baru ini adalah teknologi. Bila teknologi berubah maka budaya dan gaya hidup kita berubah.

Gaya dan cara hidup kita ini diubah oleh pemikiran kita. Pemikiran kita berubah kerana teknologi telah mengubah alam di sekeliling kita.

Bila alam di sekeliling kita berubah maka fikrah kita tidak dapat tidak akan berubah sama. Ini hukum alam yang tidak ada satu kuasa pun dapat menghalang,  

PRU15 baru selesai. Ketika tulisan ini digarap kerajaan baru belum didirikan. Biasanya dari PRU 1 hingga ke PRU13 parti dominan akan kembali berkuasa pada malam selesai mengundi. Tidak ada eh, tidak ada oh. BN akan kembali berkuasa.

Tetapi semenjak PRU14 satu yang baru muncul. BN kembali berkuasa menjadi perkara lama. Budaya politik parti dominan – parti Abang Besar – telah musnah.

Tidak wujud satu parti dominan ini adalah kebiasaan baru. Ini new normal yang wajib kita terima. Wajib kita hayati.

Sebenarnya kebiasaan baru ini yang saya garap hanya dalam hal politik. Sebenarnya yang membuka kebiasaan baru ini ialah teknologi Internet.

Budaya Internet untuk semua benda ini –  all things Internet - sedang mengubah gaya hidup manusia.

Manusia tahun 1950 bukan lagi manusia tahun 2022. Internet mengubah fikrah manusia. 

Cara berkomunikasi, cara berbudaya, cara membeli, cara menulis, cara mencari kawan dan… dan… dan… semua kini bergantung dengan Internet.

Satu ketika dulu Rene Descartes (1596-1650) ahli falsafah Perancis berkata: Aku berfikir maka aku  wujud.

Tahun 2022 Hishamuddin Rais berkata: Aku berInternet maka aku wujud.

Justeru Internet membuka minda dan membawa kebiasaan baru.

Ketika saya menggarap tulisan ini satu kebiasaan baru telah muncul di Perak.

Pakatan Harapan (PH) yang dalamnya ada DAP bekerjasama mendirikan kerajaan campuran dengan BN. Dua musuh politik kini menjalin kerja sama. Ini new normal.

Ketika saya menulis ini juga dilaporkan di Pahang kerjasama BN dengan PH juga sedang diusahakan untuk mendirikan kerajaan baru. Ini new normal – kebiasaan baru.

Umno menerima DAP adalah satu yang memeranjatkan. Ada yang tidak dapat menerima.  Ini budaya politik baru – kebiasaan baru dalam politik Malaysia.

Siapa yang tergamam dan terperanjat wajib belajar menerima kebiasaan baru ini.

Tulisan ini digarap pada hari ketiga sesudah buang undi. Malaysia masih belum ada kerajaan. Ini kebiasaan baru. Ini new normal.

Justeru kita tak perlu gelabah menyangka yang bukan-bukan.

Biar saya nyatakan di sini kerajaan Itali yang baru didirikan ini mengambil masa berminggu sebelum dapat dibentuk. Perundingan berjalan. Itali seperti biasa. Tidak ada kacau, tidak ada bilau.

Malah saya pernah alami di Belgium di mana kerajaan tidak wujud selama 6 bulan sebelum kerajaan baru berjaya didirikan.

Apa yang berlaku di Itali dan Belgium bukan new normal tapi old normal. Bukan kebiasaan baru tapi kebiasaan lama yang sering berlaku.

Yang kita hadapi setelah PRU15 ini pada ketika ini dilihat baru. Jangan risau yang baru ini akan menjadi yang lama. Sila biasakan diri kita untuk menerima pembaharuan ini.

Bayangkan kerja sama DAP dengan Umno. Satu ketika dulu dibaca mustahil.

Hari ini ia menjadi kebiasaan baru. Justeru jangan gelabah dan jangan terperanjat jika kerajaan baru ini nanti ialah kerajaan campuran antara PH dan BN.

Atau satu kerajaan perpaduan di mana semua parti politik terlibat. Jangan lupa politik ialah seni kemungkinan. Semua mungkin dalam politik.

Mari kita rayakan new normal – kebiasaan baru. Satu hari nanti  yang baru  ini akan menjadi perkara biasa. Amin. – 23 November, 2022.
 

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen