SELEPAS tamat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam, Perikatan Nasional (PN) hari ini memulakan perbincangan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti lain yang sehaluan dengannya untuk membentuk kerajaan persekutuan.
Dalam satu catatan di Facebook hari ini, Muhyiddin berkata menerima kunjungan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg untuk berunding.
“Pagi ini saya menerima kunjungan YAB Tan Sri Datuk Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, premier Sarawak dan YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, presiden PAS untuk membincangkan pembentukan kerajaan persekutuan.
“Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain sehaluan yang dan ahli parlimen Bebas.
“Insya-Allah, kerajaan persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” tulisnya.
Muhyiddin turut memuat naik foto pertemuan tersebut.
Dalam PRU15 yang diadakan semalam Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, manakala PN 73 kerusi, BN (30), GPS (22), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Bebas (2), Parti Bangsa Malaysia (1), sementara Gerakan Tanah Air gagal memenangi sebarang kerusi.
Jika PN dan GPS bergabung, bermakna dua gabungan itu mempunyai 95 kerusi.
Pada sidang media kira-kira pukul tiga pagi tadi, Muhyiddin menegaskan PN tidak akan bergabung dengan PH untuk membentuk kerajaan, selepas keputusan PRU15 menunjukkan tiada mana-mana gabungan mempunyai majoriti mudah 112 kerusi di Dewan Rakyat.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh dalam sidang media pada 5 pagi tadi berkata berkata tiada pihak yang memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi yang diisytiharkan.
Pengundian bagi Parlimen Padang Serai di Kedah ditangguhkan susulan kematian calon PH M Karupaiya pada Rabu lepas. Hari pengundian baharu bagi kerusi itu ditetapkan pada 7 Disember sementara penamaan calon pada 24 November.
Pengundian di 11 pusat pengundian di kawasan Parlimen Baram di Sarawak pula digantung berikutan cuaca buruk semalam. – 20 November, 2022.
Komen