Tidak dengan Pakatan, kata Muhyiddin


Noor Azam Shairi Mohd Farhan Darwis

Muhyiddin Yassin menegaskan Perikatan Nasional sama sekali tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan untuk bentuk kerajaan, namun berkata akan bincang dengan parti-parti dari Sabah dan Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 November, 2022.

MUHYIDDIN Yassin menegaskan Perikatan Nasional (PN) tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan, selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 menunjukkan tiada mana-mana gabungan mempunyai majoriti mudah 112 kerusi di Dewan Rakyat.

Muhyiddin yang ditanya sama ada PN akan berunding dengan PH untuk membentuk kerajaan, menjawab: “Tidak… tidak ada PH.”

Pengerusi PN itu bagaimanapun berkata pihaknya akan berbincang dengan parti-parti politik di Sabah dan Sarawak yang menang pada PRU15 untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Muhyiddin juga mengatakan beliau terbuka menerima gabungan parti lain untuk membolehkan PN menubuhkan kerajaan.

“Kami akan bincang dengan pimpinan parti Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.

“Demi menjamin kestabilan PN juga mengalu-alukan penyertaan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip perjuangan PN untuk membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil,” kata Muhyiddin, pada sidang medianya, kira-kira pukul tiga pagi tadi.

Sidang media itu diadakan di sebuah resort di Glenmarie, yang menjadi pusat

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan gabungan tersebut.

“Kita sedia bekerjasama dengan mana-mana parti, saya tak sebut secara khusus Umno, (tetapi parti) yang bersedia, termasuk parti dari Sabah dan Sarawak juga,” katanya.

Susulan kenyataan itu, penyokong PN yang hadir menyatakan bantahan menolak BN, dengan melaungkan “Tak nak BN”, dan tolak Zahid,” berulang kali, dipercayai merujuk kepada Pengerusi BN dan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Tidak mengapa, saya dah buat kenyataan tadi, kita tak payah sebut (nama parti), serahkan kepada kebijaksanaan pimpinan tertinggi, dengan menhambil kira situasi keadaan tertentu dan pandangan suara ramai pimpinan tertinggi.

“Ini bermakna kita perlu ambil kira pihak tertentu dalam parti lain kalau mereka sehaluan dan terima dasar PN kita akan timbang dengan secara teliti dan mendalam.

“Yang pentingnya kita harap dengan PN mengetuai kerajaan ini maka dapat lahirkan suasana politik paling stabil,” kata Muhyiddin, yang berjaya mengekalkan Parlimen Pagoh.

Selain itu, Muhyiddin juga berkata, PN mempunyai majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan negeri Perlis.

“Andai kata PN berjaya bentuk kerajaan bersama parti lain yang sehaluan, tumpuan PN melaksanakan semua tawaran PN Best yang dikemukan kepada rakyat semasa tempoh berkempen,” katanya.

Dalam sidang media itu, Muhyiddin juga memaklumkan sudah menerima surat daripada Istana Negara berhubung persediaan yang perlu dilakukan, dipercayai berkaitan penubuhan kerajaan.

“Saya ada terima surat daripada pihak istana negara, memberi kepada kita perkara yang perlu kita sempurnakan ikut kehendak Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi tak payah didedahkan, ini perlu kita ambil langkah secepat mungkin, sebahagian perbincangan esok hari harap dapat muktamadkan sebelum petang esok,” katanya.

Menjelang berakhirnya 14 hari tempoh berkempen PRU15, Muhyiddin menegaskan PN ada kekuatan sendiri dan menyertai pilihan raya ini untuk membentuk kerajaan dengan sendiri.

Ia susulan kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam ceramah kempen di Kelantan mengatakan PN akan dapat membentuk kerajaan dengan parti lain.

Muhyiddin juga dilapor berkata Takiyuddin tiada mandat berunding dengan mana-mana parti bagi tujuan pembentukan kerajaan.

Setakat pukul 4 pagi tadi, PN menang di 73 kerusi Parlimen, manakala PH pula sudah menguasai 80 kerusi.

BN pula sekadar menang di 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (22), Parti Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Bebas (2), dan Parti Bangsa Malaysia (1).

Baki lima kerusi lagi masih sedang dikira. – 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen