Pengundi muda mahukan pemimpin berintegriti


Ravin Palanisamy

Pengundi muda berharap undi mereka dapat membawa perubahan dan kerajaan lebih stabil. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 November, 2022.

PENGUNDI kali pertama pagi ini berubah fikiran ketika menunggu giliran di pusat mengundi hari ini.

Malaysia mempunyai 1.44 juta pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun.

Pengundi muda membentuk 6.9% daripada 21.03 juta dalam daftar pemilih 2021 yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 17 Januari.

Selangor mempunyai jumlah pengundi baharu berusia 18 hingga 21 tahun tertinggi iaitu 280,495, diikuti Johor (176,618) dan Sarawak (133,015).

Pendaftaran pengundi Undi18 dan automatik dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun lalu.

Bercakap kepada The Malaysian Insight di pusat pengundian, mereka meluahkan kegembiraan dan berharap undian yang dibuat dapat membantu membawa pembaharuan dan kerajaan yang stabil.

Adik beradik Zhi Hsuen dan Clara yang pertama kali mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Bangsar, mahukan yang terbaik untuk negara.

Zhi Hsuen, 18, berkata walaupun menggunakan haknya sebagai rakyat, beliau mengharapkan integriti dalam kalangan ahli politik dan masa depan yang lebih cerah untuk generasi muda.

“Saya berharap negara ini akan menjadi tempat yang lebih baik untuk semua orang, terutamanya generasi muda,” katanya.

“Perkara paling penting ialah semua ahli politik mempunyai integriti.”

Clara, 20, berkata mahu melihat perubahan kerana mendapati situasi politik negara mengecewakan.

“Saya mengharapkan yang lebih baik kerana politik tidak begitu menyakinkan dan agak mengecewakan walaupun bagi mereka yang dalam kumpulan umur kami,” katanya.

“Jadi kita harapkan kerajaan yang lebih baik kali ini.”

Muhammad Afiq, 21, yang mengundi di Sekolah Kebangsaan La Salle Brickfields, Kuala Lumpur, mahukan negara yang progresif, dengan kaum dan agama tidak seharusnya menjadi kriteria utama dalam memilih pemimpin.

“Kita tidak seharusnya membiarkan kaum dan agama menjadi faktor utama dalam menentukan pemimpin kita. Lihatlah negara lain,” katanya.

“Malah United Kingdom kini mempunyai seorang perdana menteri India. Kita harus menuju ke arah kemajuan dengan cara itu.

“Saya harap dengan undi saya, kita boleh mempunyai kerajaan yang progresif.”

Elsa Jemila Rosly, 21, yang bakal mula bekerja berharap undiannya dapat membawa perubahan kepada negara dan memberi impak kepada anak muda.

“Saya mahukan masa depan lebih baik kerana saya akan memulakan kerja pertama saya tahun depan dan perlu berasa selamat dan stabil di negara sendiri,” kata Elsa, yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, Gombak.

Maisara Ahmad berkata beliau berharap perubahan dalam dasar dan lebih ramai wakil rakyat wanita selepas pilihan raya.

“Saya berharap dapat melihat perubahan dari segi cara kita menangani perubahan iklim dan berusaha ke arah mempunyai seorang wanita mengetuai kerajaan suatu hari nanti,” kata pelajar itu.

“Saya tahu ini bukan isu utama di Malaysia tetapi saya berharap dapat melihat perubahan ini secepat mungkin.”

Sehingga tengah hari, kira-kira 50% pengundi yang layak keluar mengundi. – 19 November, 2022. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen