KETERUJAAN pengundi muda yang kali pertama menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan terserlah selepas ‘mencelup jari’ masing-masing di pusat mengundi di seluruh negara.
Keinginan mereka untuk melihat pemimpin pilihan berada di tampuk pentadbiran negara terbukti dengan kehadiran awal di pusat mengundi bersama rakan-rakan, adik-beradik dan ahli keluarga.
Aqilah Azreen, 18, tiba di Sekolah Kebangsaan Taman Maluri sekitar 8.37 pagi berkongsi rasa gembira kerana akhirnya berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun terpaksa meredah hujan renyai.
“Teruja sebab tidak pernah mengundi. Sebelum datang mengundi, ibu dan ayah sudah menasihati saya untuk membuat pilihan tepat dan pangkah di kertas mengundi yang disediakan dengan baik,” katanya kepada Bernama.
Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) IPG Kampus Datuk Razali Ismail Terengganu Ahmad Izzuddin Abd Rahman, 20, yang mengundi buat kali pertama di SMK Peramu Jaya, Pekan, Pahang beratur seawal 7.30 pagi.
Hadir bersama rakan, Ahmad Izzuddin berkata sangat bangga dan lega dapat menyelesaikan tanggungjawabnya kepada negara.
“Saya harap undi saya ini akan menjadikan Malaysia ke arah yang lebih baik, insya-Allah,” katanya.
Keterujaan sama dikongsi empat beradik K. Ganesh Kumar, 20, K. Divya Karasi, 21, serta kakak mereka K. Salini Devi, 29 dan K. Sundara Darshini, 28, yang mengundi di pusat pengundian Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Jalan Ipoh di Kuala Lumpur.
Mereka hadir bersama-sama di pusat undi berkenaan mengundi bagi Parlimen Batu.
“Saya membuat penyelidikan terlebih dahulu untuk mengetahui calon-calon bertanding bagi kawasan Batu sebelum membuat pilihan calon yang berkredibiliti dan layak. Saya harap calon dipilih dapat membantu masyarakat,” kata Divya sambil mengakui gementar apabila melihat kertas pencalonan yang panjang di Parlimen Batu.

Ganesh pula tidak dapat melelapkan mata semalam kerana tidak sabar untuk mengundi hari ini.
“Rasa saya memang lain sampai dua tiga kali saya terjaga daripada tidur melihat jam di dinding kerana tidak sabar untuk mengundi bersama kakak-kakak saya,” kata penuntut kolej swasta itu
Seorang pengundi remaja di Parlimen Bandar Tun Razak, Muhammad Nabil Waie Wan Ghazali, 18, berkongsi debaran kali pertama mengundi berasa gembira dan teruja untuk menunaikan tanggungjawabnya di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Seri Anggerik, Cheras di Kuala Lumpur.
“Bila sampai di pusat mengundi saya rasa berdebar juga sebab tidak tahu proses mengundi, namun bersyukur sebab ada petugas yang membantu. Selepas mengundi saya berasa lega dan bangga.
“Saya harap dengan undi saya ini dapat memilih pemimpin yang tepat demi agama, bangsa dan negara,” katanya hadir bersama ibu Noraini Hamid, 66, yang turut mengundi di pusat pengundian itu.
Berdasarkan statistik umur Daftar Pemilih setakat 9 Oktober lepas, sebanyak 1,393,549 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun di seluruh negara akan mengundi kali pertama pada PRU15 merangkumi 16 peratus daripada 6.9 juta pengundi baharu, didaftarkan secara automatik di bawah pelaksanaan Undi18.
Ia susulan Parlimen meluluskan cadangan pindaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkaitan penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pada Julai 2019. – Bernama, 19 November, 2022.
Komen