Pedoman buat para pengundi


Hadri Shah

“XX yang juga kami panggil sebagai YB XX ini bukan sahaja muda, tetapi rajin. Sejak beliau menjadi Adun, beliau sudah buktikan yang beliau boleh diharap. Beliau rajin turun padang, tidak kira kebakaran, banjir, masalah longkang tersumbat memang akan turun padang dan bantu selesaikan dengan segera,” kata seorang pengundi (nama dirahsiakan).

Saya sering menemui kenyataan ini dari siri bual-bual kosong bersama teman-teman serta orang-orang di sekeliling mengenai pilihan raya.

Ciri-ciri seperti ‘berapa banyak yang telah disumbangkan, berapa banyak peruntukan yang sudah diberi, turun padang atau tidak, sentiasa ‘available’ atau susah hendak dicari’ – ini semua antara perkara yang akan diperkirakan sebelum seseorang itu memangkah calon yang layak memimpin kawasan untuk lima tahun mendatang.

Tetapi tuan-tuan, saya terfikir, apakah kerja Yang Berhormat (YB) sama ada di DUN atau Parlimen hanya berputar pada kerja-kerja ‘populis’ sebegini?

Laman web Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang menerangkan “secara umumnya peranan Dewan Undangan Negeri adalah untuk menggubal perundangan dan dasar negeri.

“Berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, DUN mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang disenaraikan dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Peranan DUN yang seterusnya adalah memantau institusi pemerintah iaitu jabatan dan agensi kerajaan negeri.

“Ahli-ahli DUN bertanggungjawab untuk mengkritik atau menegur tindakan institusi kerajaan bagi memastikan jabatan atau agensi negeri tersebut melaksanakan fungsinya berdasarkan dasar yang telah ditetapkan. Seterusnya, DUN juga berperanan sebagai pengantara dalam penyampaian suara rakyat kepada kerajaan.”

Manakala portal rasmi Parlimen Malaysia menyatakan “Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru.

“Parlimen juga menjadi forum untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan orang ramai.”

Setelah meneliti penerangan di dua portal ini, tidak ada satu pun baris menerangkan dengan jelas bahawa tugas seorang YB seperti perenggan pertama tulisan ini.

Jadi soalannya ialah, adakah seorang YB itu dikira gagal sekiranya tidak melakukan aktiviti-aktiviti sedemikian ?

Barangkali, ya.

Kerana keberadaan seorang ahli parlimen mahupun seorang ahli undangan negeri itu ada antaranya dapat menyeronokkan atau melegakan masyarakat, lagi-lagi ketika musibah yang tak diundang datang menjelma.

Mungkin juga keberadaan seorang YB itu membuktikan dia seorang yang prihatin dengan situasi yang sedang dihadapi masyarakat.

Oleh itu, bantuan dari pejabat YB, peruntukan yang tak pernah putus serta kehadiran fizikal YB di acara-acara masyarakat setempat sedikit sebanyak menampakkan watak seorang yang menyenangkan atau boleh diharap pada mata masyarakat.

Namun pada kenyataannya, dalam kehidupan yang semakin hari semakin rumit dan sukar, bantuan dan keberadaan sahaja tidak cukup.

Sesuatu masalah tidak boleh dibereskan dengan bantuan semata. Lagi-lagi kebanyakannya bersifat sementara.

Tetapi kesulitan mampu diatasi dengan susun atur, polisi serta dasar baharu yang berpotensi mengganti, memperbaiki dan memperkasa aturan hidup masyarakat.

Ambil contoh bencana banjir.

Setiap tahun, apabila sekumpulan raksasa air hujan memanjat rumah-rumah, setiap kali itulah anda menyaksikan kehadiran para menteri, YB menaiki bot membuat tinjauan.

Kemudiannya bantuan (yang tercetak muka dan parti mereka) disampaikan langsung kepada para mangsa. Bertambah syahdu apabila anda melihat kelibat YB bersama water jet dan penyodok di tangannya membantu membersihkan rumah.

Tetapi adakah semua ini menjamin banjir tidak akan lagi melanda rumah kamu pada tahun hadapan?

Yang kamu dambakan saat ini bukanlah bantuan dan susah payah YB cuci selut banjir.

Sebaliknya sebuah polisi, dasar dan undang-undang baharu yang efisyen, yang dapat mempertahankan nasib masyarakat dan alam – diputuskan di dewan (oleh YB-YB yang anda pilih) supaya setiap titisan hujan yang turun tidak lagi menjadi alasan ‘bala dari Tuhan’.

Di sinilah tuan-tuan mesti menyemak semula kredibiliti calon-calon anda.

Terma ‘YB buat kerja’ bukan lagi seputar pada subjek yang sedang kita bincangkan tadi.

Anda mesti mempertanyakan semula: bilakah kali terakhir anda melihat YB anda bercakap, berbahas dan memberi idea di Parlimen/DUN?

Bagaimana pula rekod kehadiran mereka? Jika hadir, adakah sekadar hadir? Atau kehadiran mereka adalah sebahagian dari watak-watak sarkis yang memalukan?

Bagi calon yang pertama kali bertanding, antara kriteria yang anda mesti lihat ialah potensi. Adakah idea yang ditawarkan mereka adalah idea yang dapat mengupaya sistem ekonomi dan sosial setempat? Atau mereka, pada mata anda tak ubah seperti pewaris pekat ahli politik zaman dinosaur?

Saya kira persoalan-persoalan ini maha penting memandangkan anda dikatakan memiliki ‘kuasa’ memilih.

Menurut saya, seorang yang berkuasa tidak akan membuat pilihan maha selekeh; memilih kerana ditawarkan bantuan komputer riba, memilih kerana bakal Perdana Menteri menawarkan pengeluaran duit KWSP atau memilih kerana takut direjam dalam neraka.

Jika anda beriman bahawa kerajaan yang baik, bagus mentadbir dan memperjuangkan hak-hak rakyatnya, lahir dari ahli-ahli Parlimen dan DUN yang bagus, anda tidak akan memilih mereka yang berkemampuan menyelesaikan masalah longkang tersumbat sahaja.

Anda memilih kerana mereka adalah manusia yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus duit cukai anda sebaik-baiknya. Kerja mereka membuat polisi ekonomi-sosial dan undang-undang yang dapat memperkasakan rakyat.

Mereka wajib mementingkan hak rakyat berbanding kehendak kapitalis. Dan yang paling sakral, mereka ini, ahli-ahli Parlimen dan DUN bukan dipilih untuk menjadi tuan. Mereka adalah ‘khadam’ yang menjalankan amanah rakyat.

Maka ingatlah: Ahli Parlimen/DUN atau kerajaan yang teruk adalah hasil pilihan rakyatnya yang teruk.

Jadi, bagaimana? Sudahkah anda mengenal calon YB anda sedalam-dalamnya?

Jangan tanya saya siapa yang mesti dipilih. Anda berhak membuat pilihan sendiri.

Selamat mengundi. – 18 November, 2022.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen