Elak insiden MH128, Pemuda PAS gesa MAS henti hidang arak 


Amin Iskandar

Para penumpang turun dari pesawat MH128 yang membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Tullamarine selepas seorang lelaki cuba menceroboh ruang kokpit. – Gambar AFP, 1 Jun, 2017.

PEMUDA PAS menggesa Malaysia Airlines (MAS) berhenti menghidangan arak kepada penumpang untuk mengelakkan kejadian penerbangan terpaksa berpatah balik seperti MH128 semalam berulang.

Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadli Shaari berkata, kejadian malam tadi bukanlah satu rampasan tetapi disebabkan penumpang mabuk manakala “bahan letupan” yang didakwa dibawa hanyalah sebuah “powerbank”.

“Pemuda PAS menggesa kerajaan Malaysia membuat perubahan polisi dengan segera di dalam Malaysia Airline Berhad (MAB) dengan menghentikan serta merta hidangan minuman beralkohol yang boleh memberikan ancaman terhadap keselamatan penerbangan,” kata Fadli dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

“Kerajaan wajar mencontohi tindakan negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Bahrain dan beberapa negara lagi yang lebih tegas di dalam isu ini.”

Katanya, negara sekecil Brunei juga lebih berani dengan mengharamkan arak di dalam penerbangan Royal Brunei Airlines.  

Fadli berkata, keputusan MAS sebelum ini menghentikan hidangan minuman beralkohol kepada penerbangan kurang daripada tiga jam dipuji kebanyakan masyarakat awam yang merupakan pelanggan syarikat penerbangan itu.

Beliau berkata, insiden penerbangan tergendala dan bermasalah yang berpunca daripada penumpang mabuk seperti ini bukanlah kali pertama berlaku. 

“Insiden penumpang mabuk melakukan percubaan menceroboh masuk kokpit juga berlaku pada April 2014 di mana seorang rakyat Australia, Matt Lockley dilaporkan menimbulkan gangguan di dalam penerbangan VA41 dari Brisbane, Australia ke Bali, Indonesia,” katanya.

Semalam MH128 terpaksa membuat pendaratan kecemasan selepas seorang lelaki dikatakan mabuk cuba menceroboh kokpit penerbangan dari Melbourne.

Warga Australia berusia 25 tahun yang berasal dari pinggir bandar Melbourne, Dandenong masih dalam tahanan polis selepas cuba memasuki kokpit pesawat kira-kira 10 minit berlepas semasa penerbangan ke Kuala Lumpur. 

Tindakannya lelaki itu berjaya dihentikan sekumpulan penumpang dan anak kapal. – 1 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen