PENERBANGAN Malaysia Airlines MH128 terpaksa berpatah balik ke Melbourne malam ini selepas seorang penumpang yang mendakwa mempunyai bahan letupan cuba memasuki ruang kokpit.
Penumpang pesawat mengatakan penumpang yang cetuskan kekecohan itu memegang “alat frekuensi elektronik”.
Media Australia melaporkan yang penumpang pesawat berjaya menahan penumpang yang mencetuskan kekecohan itu.
Kenyataan Malaysia Airlines mengatakan yang penerbangan dari Melbourne ke Kuala Lumpur itu berlepas pada jam 11.11 malam dan 30 minit kemudian terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang Tullamarine di Melbourne pada jam 11.41 malam waktu tempatan.
“MH128 berlepas dari lapangan terbang Melbourne pada jam 11.11 malam dan dijangka akan tiba pada jam 5.28 pagi 1 Jun tetapi berpatah balik ke Melbourne selepas kapten bertugas dimaklumkan krew kabin tentang cubaan seorang penumpang memasuki kokpit,” kata kenyataan Malaysia Airlines.
Ia menambah yang MH128 selamat mendarat di lapangan terbang Melbourne pada jam 11.41 malam.
“Pesawat itu kini sedang berada di kawasan terasing dan menunggu bantuan keselamatan tiba di pesawat,” jelas syarikat penerbangan itu.
Kenyataan terbaru Malaysia Airlines menegaskan yang pesawat itu tidak pernah “dirampas”.
“Malaysia Airlines perlu tegaskan yang pesawat itu tidak pernah dirampas,” jelas kenyataan terbaru itu.
Ia turut menjelaskan yang penumpang yang mencetuskan kekecohan itu sudah ditahan pihak keselamatan lapangan terbang dan siasatan akan dilakukan bersama pihak berkuasa Australia.
“Malaysia Airlines bersama-sama dengan pihak berkuasa Australia akan menyiasat kejadian ini.”
Kenyataan turut menyebut yang semua penumpang pesawat diberikan penginapan di hotel untuk bermalam. Mereka juga ditawarkan untuk menaiki penerbangan seterusnya atau diberikan pilihan menggunakan syarikat penerbangan lain. – 31 Mei, 2017.
Komen