SELEPAS krisis besar dalam PAS pada 2015 yang menyebabkan parti Islam itu berpecah, Zulhazmi Shariff, ketika itu exco dalam sayap Pemuda PAS, letak jawatan dan keluar parti, dan seterusnya masuk DAP.
Amanah, parti serpihan yang diasaskan oleh bekas pimpinan PAS, pada masa itu belum lagi ditubuhkan. Selepas Amanah ditubuhkan pun, kekal dengan DAP.
Zulhazmi, 47, memilih DAP sebagai wadah perjuangan politiknya kerana percaya parti sosial demokrat pelbagai kaum itu sebuah parti berprinsip, biarpun biasa dilabel cauvinis, anti Melayu dan anti Islam.
Tujuh tahun selepas masuk DAP, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Zulhazmi menggalas amanah parti bertanding kerusi Parlimen Jerai, sebuah kawasan super majoriti Melayu – untuk membuktikan semua label itu tidak betul.
“Kita (DAP) tawarkan khidmat untuk rakyat, tak kiralah kaum apa. Kita orang Malaysia, tak perlu main isu kaum dan agama.
“Kita percaya sudah sampai masa DAP pecahkan tembok perkauman itu. Sebelum ini ditohmah DAP fokus kerusi majoriti Cina, kenapa tak kali ini kita nak buktikan,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, di Guar Chempedak, baru-baru ini.
Bukan Zulhazmi seorang saja; DAP juga meletakkan calon Melayu di beberapa kerusi Parlimen yang lain yang profilnya hampir sama dengan Jerai – kawasan majoriti pengundi Melayu yang selama ini ditandingi calon parti Melayu terutamanya Umno dan PAS.
Antara kerusi itu ialah Bangi di Selangor serta Lipis dan Bentong di Pahang. DAP juga meletakkan calon Melayu di tiga kerusi Parlimen di Johor: Ayer Hitam, Pontian, dan Mersing.
Semua kerusi ini adalah kawasan campuran dengan majoritinya pengundi Melayu, kecuali Mersing, Pontian, dan Jerai yang merupakan kawasan majoriti Melayu lebih 75% pengundi.
“Saya tak pasti peringkat nasional ada strategi bagaimana, dan apa pandangan DAP nasional tapi kami di peringkat negeri Kedah kita nak tunjukkan DAP boleh diterima orang Melayu,” katanya, yang juga seorang peguam lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zulhazmi yang juga timbalan pengerusi DAP Kedah tidak menganggap usaha itu sebagai satu beban.
“Saya seronok nak jadi pemecah tembok perkauman yang dibina selama ini yang mengatakan DAP parti Cina dan anti Islam. Saya cuba pecahkan tembok itu,” katanya.
Jerai antara kerusi tumpuan pada PRU15 kerana ia kerusi majoriti Melayu dan rekodnya dimenangi silih berganti antara Umno mewakili Barisan Nasional (BN) dan PAS. Jerai mempunyai 80% pengundi Melayu, berdasarkan daftar pengundi pilihan raya umum yang lepas.
Pada PRU14, calon PAS Sabri Azit menang tipis dengan 539 undi atau 0.82% mengalahkan bekas menteri Jamil Khir Baharom dari BN dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi dari Bersatu yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Ketiga-tiga calon juga meraih undi yang hampir sama banyak, sekitar 27%.
Pada PRU15, Jerai mempunyai 105,001 pengundi, bertambah 24% pengundi baharu berbanding 79,976 pada pilihan raya umum yang lalu. Daripada jumlah itu, 80% Melayu.
Parlimen Jerai dibentuk tiga kawasan negeri iaitu Sungai Limau, Guar Chempedak, dan Gurun, yang bagaimanapun tidak dipertandingkan pada PRU15 ini.
Selain Zulhazmi, Sabri, yang mempertahankan Jerai atas tiket Perikatan Nasional (PN) dicabar semula oleh Jamil Khir. Mereka disertai calon Gabungan Tanah Air (GTA) Nizam Mashar, yang bertanding dengan lambang Pejuang.
Zulhazmi yakin beliau ada peluang untuk menang tetapi tidak mahu terlalu yakin.
“Kita masuk (bertanding) memang nak menang, bila kita minta bertanding di sini kita dah buat analisa dan kaji peratusan menang.
“Saya tak mahu terlebih yakin tapi daripada penerimaan respons pengundi dan lawan ruang untuk menang dan ada, saya optimis.
“Kalau kalah tidak ada masalah, sekurang-sekurangnya saya nak buka fikiran rakyat,” katanya.
Zulhazmi cuba membuka fikiran rakyat melalui program penerangan kepada kelompok kecil, termasuk melalui saudara-maranya yang juga pengundi di Jerai.
“Di Sungai Limau saudara-mara saya ramai, dari sebelah keluarga ayah dan ibu.
“Saya pergi satu rumah, seperti rumah pak cik saya kemudian panggil ramai orang datang buat minum petang makan bihun goreng, cucur pisang dan kita sembang santai,” katanya.
Sesi itu menjadi ruang mereka bersuai kenal dan beliau menjawab pertanyaan mengenai DAP dan perjuangannya.
“Saya jelaskan DAP bukan parti yang tumpu pada satu satu kaum.
“Saudara-mara saya semua PAS. Bila jumpa mereka saya cerita kenapa saya masuk DAP, lari daripada PAS… saya cerita. Jadi mereka tahu, mereka nampak terbuka,” katanya.

Amanah tolak
Pencalonan Zulhazmi bagaimanapun tidak disenangi oleh Amanah sehingga mengakibatkan pengerusi Amanah Kedah, Phahrolrazi Mohd Zawawi dipecat daripada parti.
Ketua pembangkang DUN Kedah itu membantah keputusan Majlis Presiden PH meletakkan calon DAP di Jerai kerana bimbang ia akan memberi persepsi negatif kepada gabungan itu. Beliau tidak hadir pada majlis pengumuman calon PH Kedah dan menyeru ahli Amanah negeri memboikot kempen PH di Jerai.
Susulan pemecatan itu, segelintir jentera Amanah memulau kempen PH di Jerai namun Zulhazmi mengaku ada juga ahli Amanah yang membantu kempennya dan tidak menghiraukan sentimen yang ditinggalkan Phahrolrazi.
Zulhazmi percaya sikap Phahrolrazi mungkin dibentuk daripada tuduhan mengenai kaum dan agama yang selalu dilemparkan kepada DAP.
“Isu perkauman dimainkan terlalu lama hingga ada dalam kalangan kita (dalam PH) terikut-ikut, takut dituduh sebagai barua DAP. Dia tak sebut barua Cina, disebut kami kuda tunggangan DAP.
“Benda bohong kalau dicakap berulang-ulang kali akan ada yang termakan. Saya tak faham apa ditakutkan sangat dengan DAP. Apa yang ditakutnya, saya pun tak tahu,” katanya.
Zulhazmi percaya persaingan di gelanggang politik harus bertumpu pada khidmat dan usaha menyelesaikan masalah rakyat, dan bukannya mengelirukan masyarakat dengan isu kaum dan agama.
“Lupakan isu perkauman, bukan isu 80% Melayu, 20% bukan Melayu. Di Jerai kita hidup bermasyarakat. Bukan cerita calon Melayu diperkudakan DAP untuk bunuh Melayu.
“Siapa saya nak bunuh Melayu? Kita hanya nak naikkan martabat warga kita.
“Saya pun Melayu, lainlah DAP letak Cina, tapi di Jerai DAP letak Melayu, Islam juga, bekas orang PAS lagi,” tambahnya.– 15 November, 2022.
Komen