Calon hanya perlu satu permit untuk kempen walkabout, kata polis 


SEMUA calon memerlukan permit untuk berkempen secara walkabout tetapi mereka hanya perlu memohon sekali sahaja, kata Bukit Aman.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Hazani Ghazali berkata permit itu sah untuk walkabout yang mereka jalankan di kawasan yang mereka tandingi.

Bagaimanapun katanya, calon perlu memohon dua permit sekiranya kawasan itu merentasi dua daerah polis - permit perlu diperoleh daripada kedua-dua ibu pejabat polis daerah.

“Permit ini akan membolehkan polis memastikan aktiviti calon berjalan lancar.

“Calon mesti mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelak daripada bertembung sesama sendiri semasa kempen, atau mengeluarkan provokasi lisan atau fizikal semasa walkabout,” kata Hazani dalam satu kenyataan bagi menjelaskan aduan mengenai permit daripada calon.

Hazani Ghazali berkata polis sedang menguatkuasakan Subseksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya yang memerlukan calon atau ejen pilihan rayanya, semasa tempoh berkempen memberi notis polis mengenai sebarang mesyuarat atau perhimpunan.

Pengarah pilihan raya DAP, Liew Chin Tong semalam telah mengadu keperluan permit menyukarkan kempen.

Beliau berkata ia tidak ada keperluan pada tahun sebelumnya.

Calon Iskandar Puteri itu menggesa suruhanjaya Pilihan Raya memastikan calon-calon dapat bergerak dengan mudah ketika berkempen.

Awal hari ini, rakan separti Liew, Gobind Singh Deo memberitahu polis supaya menghapuskan syarat bagi calon pilihan raya untuk mendapatkan permit untuk berkempen secara walkabout.

Beliau memberitahu Ketua Polis Negara (KPN) Acryl Sani Abdullah Sani, syarat itu tidak masuk akal kerana tempoh kempen itu bertujuan untuk membolehkan calon memperkenalkan diri kepada pengundi. – 11 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen