Dr Mahathir akui GTA kurang dapat sambutan di beberapa kawasan


Dr Mahathir Mohamad mengakui Gerakan Tanah Air (GTA) kurang mendapat sambutan di beberapa kawasan yang ditandingi kerana ramai pengundi masih kurang jelas dengan gabungan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2022.

DR Mahathir Mohamad mengakui Gerakan Tanah Air (GTA) kurang mendapat sambutan di beberapa kawasan yang ditandingi kerana ramai pengundi masih kurang jelas dengan gabungan itu.

“GTA akan berusaha menjelaskan kepada pengundi tentang gerakan kami, tentu ada kawasan yang kurang baik (kurang mendapat sambutan), itu kita sedang usahakan supaya mereka faham apa itu GTA dan manfaat yang mereka akan peroleh kalau undi GTA,” katanya yang juga Pengerusi Penaja gabungan itu.

Bercakap kepada pemberita selepas Sesi Tinjauan Mesra bersama calon GTA-Pejuang iaitu Mohd Rafique Rashid di Pasar Malam Seksyen 24 di Shah Alam hari ini Dr Mahathir bagaimanapun tidak menyatakan kawasan yang dimaksudkan.

Mengulas mengenai Mohd Rafique yang akan bertanding di Parlimen Shah Alam Dr Mahathir berkata beliau yakin dengan kemampuan calon GTA itu.

“Di Selangor peluang GTA baik, banyak tempat sambutannya agak baik kalau kita melawat tapi kita tidak ada banyak sepanduk dan bendera sebab kita tidak ada duit,” katanya. 

Ditanya mengenai kawasan yang boleh dimenangi GTA, Dr Mahathir menjawab: “Banyak tempat kita boleh menang ... Langkawi, tempat lama saya Kubang Pasu, (tempat Datuk) Amirudin (Hamzah) sekarang dan Jerlun tempat (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir).”

Beliau berkata GTA akan mengumumkan manifestonya esok.

GTA merupakan pakatan empat parti politik iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta gabungan badan bukan kerajaan yang membentuk Gagasan Bangsa (GB).

Pada PRU15 calon GTA bertanding menggunakan logo Pejuang kecuali di Kelantan yang menggunakan logo Putra. – Bernama, 9 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen