YAYASAN Bill & Melinda Gates mengumumkan geran bernilai AS$1.4 bilion untuk membantu petani kecil di Afrika akibat kesan perubahan iklim, menurut yayasan itu dalam satu kenyataan pada Isnin, lapor Sputnik.
Menteri Luar Mesir dan Presiden Persidangan Perubahan Iklim PBB ke-27 (COP27) Sameh Shukry di luar COP27 baru-baru ini berkata, negara-negara Afrika memerlukan pembiayaan untuk menangani kesan perubahan iklim, susulan penduduknya berdepan akibat daripadanya meskipun mereka bukan penyumbang utama kepada perubahan iklim.
“Hari ini, Yayasan Bill & Melinda Gates menyeru pemimpin Afrika agar meningkatkan skala kewangan dengan cepat untuk penyesuaian iklim dan berjanji untuk melabur AS$1.4 bilion bagi membantu petani dan pekebun kecil menangani kesan jangka panjang perubahan iklim.
“Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gates Mark Suzman pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP27),” menurut kenyataan itu.
Melalui inisiatif ini, dana itu akan menaja industri pertanian hijau inovatif Afrika dalam tempoh empat tahun akan datang, membantu dengan menggunakan teknologi digital moden dalam bidang itu dan menyokong petani wanita. – Bernama, 8 November, 2022.
Komen