PERDAGANGAN barang makanan dan produk pertanian antara China dengan Afrika terus menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan sekali gus membawa limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua pihak.
Demikian kata jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin sebagai mengulas laporan mengenai Kenya mengeksport avokado segar ke China baru-baru ini yang mendapat sambutan amat menggalakkan.
Wang berkata kerajaan China sentiasa mementingkan kerjasama pertanian dengan Afrika dan aktif mengimport hasil pertanian dari benua itu.
“Sejak Sidang Kemuncak Beijing mengenai Forum Kerjasama China-Afrika (Focac) pada 2018, kami (China) menyediakan akses pasaran bagi 25 jenis produk dari 14 negara Afrika, termasuk Kenya, Afrika Selatan, Benin dan Mesir,” kata beliau dalam satu sidang media, di Beijing, Selasa.
Menurut Wang, China kekal sebagai destinasi eksport kedua terbesar bagi pengeluar hasil pertanian di Afrika.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, eksport berkenaan terus mantap dengan kadar pertumbuhan purata sebanyak 11.4%, khususnya nilai eksport yang dicatat pada 2021 naik 18.23%,” kata beliau.
Pada Persidangan Menteri Focac kelapan November lalu, China mengumumkan pemberian kemudahan laluan hijau kepada hasil pertanian keluaran Afrika.
Jabatan Pentadbiran Am Kastam (GACC) turut mengambil langkah memudahkan urusan perdagangan, antaranya termasuk memberi keutamaan kepada pengeluar hasil pertanian Afrika yang membuat permohonan untuk mengakses pasaran China.
GACC akan memulakan proses penilaian risiko serta urusan pemeriksaan dan kuarantin sejurus selepas menerima dokumen teknikal yang disediakan negara berkenaan.
Prosedur kemasukan akan dipercepat apabila kerja penilaian risiko dilakukan serentak ke atas produk pertanian tertentu dari negara sama dengan teknik pemprosesan yang serupa, atau produk sama, tetapi dikeluarkan negara berbeza.
Penggiat industri pertanian Afrika yang memperoleh askes ke pasaran China berpeluang menikmati urusan pendaftaran lebih mudah dengan pemeriksaan dilakukan GACC menerusi pautan video. – Bernama, 17 Ogos, 2022.
Komen