KEMUNCULAN pelbagai produk fesyen sukan yang selesa dan menutup aurat membolehkan semakin ramai golongan muslimah menceburi kegiatan sukan lasak.
Pakaian tersebut tidak menjadi penghalang kepada golongan wanita untuk bersukan, malah memberi kelebihan tersendiri.
Bagi Jamilah Kamaruddin, 30, yang aktif mendaki gunung sejak di bangku sekolah, beliau merasakan tudung berfungsi sebagai pelindung daripada kecederaan ketika bersukan.
.jpg)
“Saya suka masuk hutan, mendaki dan melihat hijau alam dan belajar kenal diri sendiri serta berdikari. Tudung bukan penghalang malah boleh jadi pelbagai fungsi.
“Sebagai contoh ia jadi pelindung seperti bahaya serangga, pacat, tumbuhan berduri dan menjalar. Ia juga jadi pelindung bahang panas atau angin sejuk,” katanya yang mendaki lebih daripada 20 puluh gunung.
Antaranya Gunung yang pernah didaki ialah Gunung Kerinchi dan Raung di Indonesia, Gunung Pulag di Filipina dan Annapurna di Nepal.

“Tudung pilihan saya biasanya material cotton. Senang dibentuk dan tidak tebal serta serap peluh. Tidak perlu jenama sangat pun kerana yang penting selesa.
Berkongsi minat yang sama, Nur Fatin Akhma Fauzi, 28 berkata fesyen tudung yang mudah dan ringkas membantu muslimah menyertai sukan lasak.
“Pemilihan tudung yang sesuai juga adalah amat penting ketika bersukan contohnya tudung yang tidak menggunakan pin bagi memudahkan pergerakan semasa mendaki.
“(Cuaca) panas tidak menjadi isu juga sebab sekarang terdapat banyak lambakan tudung khas sukan menggunakan material yang selesa kepada si pemakai sekali gus dapat menutup aurat kita semasa bersukan,” katanya.
Tudung pilihannya menggunakan material Lycra yang banyak digunakan oleh pengeluar kelengkapan sukan teknikal.
“Materialnya daripada Lycra, sangat ringat dan yang penting tiada pin. Mudah untuk kita bergerak. Harga pun ada yang kurang dari RM100,” katanya lagi.
Pertumbuhan rancak segmen pakaian sukan Muslimah
Pelbagai jenis tudung sukan dapat diperolehinya dari penjual dalam talian. Antara jenama kegemarannya adalah dari pengeluar tudung tempatan Ariani yang menerbitkan koleksi sukan Ariani Active.
Beliau juga memilih jenama Nike yang mengeluarkan kelengkapan tudung sukan khas dengan koleksi Nike Pro Hijab.
Nike merupakan antara pemain utama dalam industri kelengkapan sukan dunia yang melihat peluang ke atas kerancakan pertumbuhan segmen sukan wanita muslimah.
Menurut kajian firma antarabangsa Allied Market Research, nilai pasaran pakaian sukan dijangka mencecah USD184.6 bilion (RM725.5 bilion) pada 2020, dengan pertumbuhan pada kadar 4 peratus setahun sejah 2015.
Pertumbuhan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan minat dan penyertaan wanita dalam kegiatan sukan, terutama dari kalangan wanita Muslim.
Permintaan yang tidak dipenuhi dari pengguna wanita Muslim inilah yang menyebabkan kemunculan jenama sukan khusus dari pengusaha tempatan seperti Ash Be Nimble, Nashata, Raqtive dan Poplook.
Perlu jaga aurat walau bersukan
Satu kaji selidik firma komunikasi pemasaran J. Walter Thompson (JWT) yang bertujuan untuk memahami trend dan pilihan Muslimah di Asia Tenggara mendapati pasaran pengguna Islam ini berjumlah AS$1.9 trilion.
Seramai 58 peratus daripada responden yang ditinjau di Malaysia dan Indonesia itu menyatakan pemakaian tudung sebagai keperluan utama bagi pengguna Muslim.
Seorang penggiat sukan memanah pula Helza Hamzah, 22, memberitahu The Malaysian Insight, aurat perlu sentiasa dijaga walaupun semasa bersukan.
Beliau mengenakan niqab atau tudung labuh semasa memanah kerana bimbang tersingkap ketikan melakukan aktiviti itu.

“Tudung kalau labuh lagi bagus sebab bila angkat tangan kita pegang panah itu, tudung kita akan jadi sedikit singkat.
“Seeloknya labuh supaya sentiasa dapat memelihara aurat yang sepatutnya kita jaga,” katanya.
Katanya, tudung labuh yang dipakainya tidak menghalang pergerakannya.
“Soal pergerakan tiada masalah sebab memanah memerlukan fokus pada ketajaman mata dan kekuatan tangan kita,” kata Helza yang juga pengasas NGO Usrah Hijrah.
Bagi sekumpulan remaja perempuan yang bermain papan selaju di sebuah gelanggang di Kajang, mereka gembira kerana dapat bergerak aktif dengan bebas dengan bertudung.
Fatin Syahirah Roszizi, 16, berkata beliau dan rakan-rakannya bermain di gelanggang skatepark itu setiap hari minggu bersama rakan-rakannya.
“Kita main sukan sebegini lebih bagus dan tidak lakukan bukan-bukan. Ibu bapa galakkan janji tak abai pelajaran,” katanya.
Remaja ini memilih fesyen tudung bawal yang menurutnya lebih selesa untuk dikenakan semasa bermain papan selaju.
Tudung yang dipakainya itu menyebabkan beliau berasa panas ketika aktif bersukan, namun ia tidak mendatangkan masalah kepadanya.
“Saya sudah biasa panas. Untuk bertudung boleh saja berfesyen. Ada saja yang pakai tudung lilit. Tetapi kalau hendak lebih selesa boleh pakai tudung bawal,” katanya. – 4 Mac, 2018.
Komen