Muslimah bergaya, moden jadi sasaran pemasaran, kata kaji selidik


Looi Sue-Chern

Hasil kajian menunjukkan agama kekal menjadi keutamaan kepada wanita Islam di Malaysia dan Indonesia, walaupun mereka semakin moden dalam pandangan dan gaya hidup. – Gambar EPA, 26 September, 2017.

WANITA muda beragama Islam di Asia Tenggara menjadi tumpuan para pemasar sebagai kumpulan berpengaruh dalam gaya, fesyen, pelancongan, kemampuan yang baik terhadap teknologi dan keusahawanan sambil tetap patuh pada aspek keagamaan, menurut kaji selidik dijalankan J. Walter Thompson (JWT).

Agama kekal menjadi keutamaan kepada wanita Islam di Malaysia dan Indonesia, walaupun mereka semakin moden dalam pandangan hidup, kata tinjauan “Muslimah Baru: Fokus Asia Tenggara” yang dijalankan pada Ogos di kalangan 500 wanita di setiap negara.

Kajian itu, dilakukan bagi syarikat komunikasi pemasaran JWT, meliputi golongan wanita yang sebahagian besarnya berusia 18-39 tahun (77%) dan lebih 40 tahun (23%).

Ia bertujuan untuk memahami trend dan pilihan Muslimah di Asia Tenggara dalam pasaran pengguna Islam berjumlah AS$1.9 trilion bagi jenama gaya hidup dan saluran digital yang menggabungkannya dengan keperluan agama.

Mempraktikkan Islam menduduki tempat teratas bagi Muslimah di kedua-dua negara, dengan sembahyang diberikan keutamaan (98%); diikuti pemakaian tudung (58%); membeli, makan atau menggunakan produk halal (35%), dan melaksanakan haji (10%).

“Hampir semua wanita mengatakan mereka bersembahyang lima kali sehari; 94% mengatakan Islam ‘sangat’ penting kepada mereka, lebih tinggi daripada keluarga (91%), kebahagiaan (91%), dan kedamaian atau ketenangan (89%),” kata tinjauan itu.

Secara geografinya, 90% daripada wanita berkenaan adalah dari kawasan bandar dan pinggir bandar di Jawa, Indonesia, dan wilayah tengah Malaysia dan 60% sudah berkahwin. Dari segi kerja dan pendidikan, 68% bekerja sepenuh masa, 7% bekerja separuh masa dan 8% bekerja sendiri.

Semua responden wanita itu juga berpendidikan tinggi, dengan 66% rakyat Indonesia dan 56% rakyat Malaysia telah menamatkan ijazah sarjana muda.

Mementingkan halal

Di Malaysia, 60% daripada 30 juta penduduknya beragama Islam, manakala di Indonesia – negara Islam paling ramai di dunia – ia membentuk 80% daripada 260 juta penduduk.

Tinjauan mendapati di kedua-dua negara, majoriti percaya wanita muda Islam hari ini lebih konservatif berbanding generasi terdahulu.

Tinjauan itu mendapati 44% wanita Malaysia dan Indonesia berumur 18 hingga 39 tahun berkata mereka “lebih mentaati agama berbanding ibu bapa mereka semasa pada umur yang sama”.

Lebih mementingkan agama, aspek halal juga menjadi keutamaan, dengan sembilan daripada 10 wanita menggambarkannya sebagai “sangat penting”.

“Halal paling penting apabila membeli makanan (92%), dan juga membeli produk penjagaan diri (67%), diikuti produk perbankan dan kewangan (52%), pembelian pakaian (52%) dan melancong (39%).

“Ia kurang penting apabila ia melibatkan pembelian atau bayaran bagi pelancongan atau memilih hiburan seperti muzik.”

Apabila ia melibatkan fesyen, kebanyakan wanita Muslimah – 85% wanita lebih muda dan 77% wanta lebih berusia – mempunyai sekurang-kurangnya 10 tudung. Hanya 1% wanita lebih muda dan 7% lebih tua tidak memilikinya.

“Bagi ramai wanita, tudung dan fesyen yang sederhana, menjadi simbol identiti dan perpaduan Muslimah muda.

“Sesungguhnya, fesyen sederhana menjadi industri yang menjalin rangkaian lebih besar di seluruh dunia fesyen Islam,” kata kaji selidik tersebut.

Laporan itu menyatakan pelbagai kuasa membantu mempromosikan “Islamisasi kehidupan umum dan peribadi sejak akhir 1970-an” di kedua-dua negara, seperti Revolusi Iran 1979, pergerakan pelajar tempatan yang menganggap Islam sebagai alternatif kepada kemodenan Barat, dan persaingan parti politik bagi memenangi undi orang Islam.

Laporan itu mengatakan, beberapa tahun kebelakangan ini, kelas agama untuk orang dewasa dan kanak-kanak, wanita semakin popular. Manifestasi penekanan Islam paling jelas adalah penggunaan tudung yang semakin meluas.

“Sebelum ini, ramai wanita Islam tidak bertudung atau sesekali menutup rambut mereka dengan selendang longgar untuk majlis perkahwinan dan majlis tertentu lain.”

Percutian Islam

Majoriti Muslimah muda melakukan perjalanan untuk berseronok, dengan kira-kira sepertiga daripada mereka mengatakan ke luar negara sekurang-kurangnya setahun sekali.

Bagaimanapun, wanita Indonesia lebih cenderung melakukan perjalanan untuk perniagaan berbanding rakyat Malaysia.

Kebanyakannya melakukan perjalanan bersama keluarga atau rakan. Jepun, Korea dan Thailand adalah destinasi kegemaran wanita Malaysia dan Indonesia. Muslimah Malaysia juga menggemari Indonesia manakala wanita di sana pula lebih sukakankan Singapura.

Wanita muda juga didapati menggemari destinasi seperti Korea, Australia dan New Zealand lebih berbanding mereka yang lebih tua.

“Apabila memilih destinasi, wanita memilih faktor kos dan negara yang mesra kepada umat Islam,” menurut kajian itu dan mendapati negara seperti Thailand, Jepun dan Korea semakin banyak menyediakan kemudahan untuk orang Islam di lokasi tarikan pelancong dan pusat membeli-belah, sementara restoran mereka menawarkan makanan halal.

Suara wanita

Hampir semua wanita dalam kaji selidik itu merasakan terdapat lebih banyak peluang bagi keadilan gender berbanding masa lalu.

Tetapi 91% daripadanya merasakan wanita muda sepatutnya mempunyai lebih suara dalam kerajaan tempatan dan 90% berpendapat sama bagi kerajaan negara.

Sementara itu, 71% daripadanya merasakan wanita muda harus diberikan lebih kebebasan dan 88% berpendapat mereka sepatutnya mempunyai suara dalam komuniti masjid masing-masing.

“Walaupun lebih banyak wanita dipilih dalam jawatan peringkat tempatan dan nasional di Indonesia dan Malaysia, masih ada halangan bagi wanita memasuki politik, termasuk kurangnya rangkaian sokongan dan kemudahan seperti penjagaan anak, malah bilik menyusu di bangunan kerajaan.”

Menyentuh mengenai bagaimana wanita Islam digambarkan dalam iklan, 82% wanita muda di Indonesia menganggap ia mencerminkan realiti, tetapi hanya 56% wanita Islam Malaysia berpandangan begitu.

Mahir teknologi

Semua responden mempunyai telefon bimbit atau telefon pintar, dengan Samsung sebagai jenama paling popular di Indonesia (51%) dan Malaysia (35%), diikuti Apple iPhone.

Empat daripada lima wanita menghabiskan sekurang-kurangnya empat jam dalam talian, dengan wanita muda menghabiskan lebih banyak masa berbanding yang lebih tua. Aplikasi media sosial paling popular adalah WhatsApp, Facebook, dan Instagram.

Membeli-belah dalam talian juga popular, 31% wanita muda Indonesia berbelanja sekurang-kurangnya seminggu sekali dan 75% sekurang-kurangnya sebulan sekali, berbanding 24% dan 58% wanita Islam Malaysia.

“Wanita paling banyak membeli pakaian dan produk kecantikan, diikuti teknologi, tempahan perjalanan dan barangan runcit. Sepertiga wanita menggunakan aplikasi pembayaran, kebanyakannya Google Wallet atau Samsung Pay,” kata laporan itu.

Kajian itu juga mendedahkan sepertiga wanita menggunakan aplikasi dan laman sesawang bagi temu janji. Di Malaysia, aplikasi paling popular adalah WeChat manakala wanita Indonesia menggunakan pelbagai platform temu janji dalam talian.

Pendidikan, kerjaya dan perkahwinan

Lebih separuh daripada wanita berusia 18 hingga 39 tahun di Malaysia (58%) dan Indonesia (52%) menganggap kerjaya “sangat penting”.

Ia termasuk mereka yang berumur 40 tahun ke atas, 48% (Malaysia) dan 45% (Indonesia). Majoriti wanita juga melihat pendidikan sebagai sangat penting.

Bagi perkahwinan, lebih ramai wanita Indonesia – 81% wanita lebih muda dan 75% di Malaysia (58%) dan (52%) lebih tua – menganggapnya sangat penting.

Hanya 54% wanita Islam Malaysia berusia 18 hingga 39 tahun dan 49% wanita berumur 40 tahun ke atas mempunyai pandangan yang sama.

Laporan itu juga membentangkan kajian kes mengenai keperibadian Muslimah, termasuk penyanyi-penulis lagu Yuna, yang memecah imej stereotaip wanita dan penyanyi wanita Islam, dan mencetus inspirasi golongan baru yang dikenali sebagai “hijabsters”.

Turut menyenaraikan penghibur, usahawan fesyen dan kosmetik dalam talian wanita Malaysia dan Indonesia. – 26 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen