PRU15: Pemimpin dan makna kebahagian Islam


Mohd Syazreen Abdullah

KEBAHAGIAAN bukan di puncak kekuasaan. Apa erti kebahagiaan di puncak kekuasaan seandainya kita melupakan tugas amanah sebagai khalifah di muka bumi ini?

Kita alpa pada hakikat kebahagiaan sebenar. Kealpaan ini membawa kecelakaan (shaqawah). Lawan kepada kebahagiaan (sa’adah). Kebahagiaan bukan meraih kemewahan dan kekayaan duniawi. Kebahagiaan bila kita mengenal diri. Mengetahui hakikat tugas sebagai hamba Tuhan – pemimpin.

Tidak lama lagi kita akan bersama-sama mengundi dan memilih bakal pemimpin masa depan. Esok, 5 November, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membuka penamaan calon.

Negara yang baik dicorakkan pemimpin baik. Rakyat harus sedar dan bertanggungjawab ke atas pilihan ini. Masa depan di tangan kita. Kita mencorak masa depan anak. Masa depan negara kita tentukan dan pilih.

Justeru, sandarkan pilihan pada akal rasional dan hati nurani. Kebergantungan tidak putus-putus kepada Tuhan.

Pemimpin, beringatlah.

Kebahagiaan menjadi pemimpin apabila kuasa yang kita miliki itu digunakan untuk melawan penindasan. Kebahagiaan menjadi wakil rakyat apabila berjuang mengurangi beban kesulitan hidup rakyat. Mewakili suara nadi rakyat untuk menyelesaikan masalah hidup rakyat.

Letaklah kepentingan rakyat di hadapan. Bukan menunggang rakyat demi haloba duniawi.

Pemimpin,

Berbahagialah jika anda dapat memahami makna keadilan sebenar. Begitu kita semua. Mengetahui segala batas ruang dan letak sesuatu pada tempatnya. Pasaklah dan meyakini bekerja demi kebajikan rakyat kerja mulia di sisi Tuhan.

Sesungguhnya Tuhan mengangkat tinggi ganjaran pahala kepada orang yang memudahkan dan menyenangkan urusan manusia lain. Memimpin harus dimaknai dengan rasa pertanggungjawaban memakmurkan bumi Tuhan.

Setiap tanggungjawab dan amanah dilakukan hanya dengan penyerahan penuh kepada Maha Esa. Oleh kerana itu, rakyat menjadi wasilah terhadap nasib kedudukan pemimpin di akhirat kelak.

Jika amanah kepada rakyat diabaikan dan diselewengkan untuk kepentingan duniawinya, tunggulah kecelakaan besar dan kesengsaraan di akhirat menanti!

Kebahagiaan sejati bukan urusan duniawi saja, tetapi berkait kehidupan abadi. Gapailah kebahagiaan hakiki dengan tidak memisahkan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Berikutan itu asas kebahagiaan datang dari sumber agama.

Pemimpin yang takutkan Tuhan sesekali ia tidak akan meninggalkan amanah sebagai pemimpin yang diamanahkan kepadanya.

Adakah para pemimpin kita sudah mencapai kebahagiaan sejati?

Tepuk dada, tanyakan Iman.

Kebahagiaan dalam Islam

Sarjana besar dunia Islam dan khususnya Malaysia, Syed Naquib al-Attas menulis hal kebahagiaan dengan tuntas. Penulis tesis The Mysticism of Hamzah Fansuri di bawah bimbingan A.J Arberry dan Martin Lings bukan sebarang pemikir, beliau aktif membetulkan kekeliruan pandangan tentang kebahagiaan khususnya pemimpin melayu Islam sepanjang zaman.

Sehingga hari ini ada yang masih gagal memahami falsafah ketibaan makna kebahagiaan Islam. Kekeliruan berputar pada lingkaran kejahilan yang tidak ada hujung pengakhirannya.

Kebahagiaan bukan sekadar menggapai kenikmatan material dalam hidup di dunia tetapi apabila apakah kebahagian itu tiba sebagai pemaknaan dalam diri kita lalu menjadikan kita lebih takwa.

Benar, pemimpin juga insan yang tidak boleh lari dari kelupaan. Mereka harus disedarkan. Kerana makna insan dari kata sifat nasiya atau melupa. Malangnya, setelah memimpin di dunia, mereka lupa mereka juga menjadi pemimpin di akhirat kelak.

Kelupaan mereka itu alpa sehingga menjadi insan zahir di dunia sekali gus melupakan hakikat perjanjian asali iaitu mithaq – sebuah momen penyaksian antara hamba dan Rabbnya.

Menurut al- bahawa penyaksian itu berlakulah din – Penyerahan penuh seorang hamba kepada penciptanya dengan ikatan perjanjian yang harus dilunaskan. Keberhutangan perjanjian tersebut diterjemahkan di atas muka bumi ini. Dalam faham penyerahan diri terkandung ciri perasaan, kepercayaan dan amalan.

Setiap ciri kandungan itu harus dimanifestasikan kepada pemberian dari wujud-Nya. Tersiratnya, sejak azali lagi kita sudah diikat perjanjian dan amanah sebagai hamba. Apakah amanah tersebut dapat kita lunaskan bila tiba masanya dibentangkan di hadapan-Nya?

Analoginya seperti pemimpin. Sikap amanah itu tidak boleh berpisah dalam diri manusia. Menjadi pemimpin perlu menzahirkan sifat amanah tersebut sebagai wasilah memanifestasikan keindahan Tuhan. Jadilah pemimpin yang bermati-matian mempertahankan hak bumi dan kemanusiaan.

Justeru, penyerahan itu mengembalikan keberhutangan asal-usul kejadian manusia sebelum ia dizahirkan di muka bumi sebagai pemimpin di alam raya. Ia harus berbalik kepada pencarian makna diri. Jadi, kebahagiaan hakiki hadir saat seseorang melunaskan amanah-amanah yang disebut hutang dirinya.

Demi mencapai hal itu, haruslah bertakwa dengan mengikuti panduan jalan ilmu diajar agama. Demikian menjadi pemimpin memikul amanah paling berat. Bukan sahaja memimpin di atas keberhutangan diri tetapi harus melaksanakan tujuan keberhutangan itu kepada alam pencipta-Nya.

Pasti, tugas berat inilah saksi dan wasilah mencapai kemuncak kebahagiaan. Maka, pemimpin harus ada ilmu yang benar dan sedar keterbatasan diri agar tidak menghala kebinasaan.

Jalan ilmu

Tidak tercapai kemuncak kebahagian tanpa menyelami apa itu kebahagiaan. Seorang pemimpin harus jelas memiliki pandangan alam khususnya agama dan ilmu. Dia tidak boleh menjadi pohon goyang. Sebaliknya keyakinan dan kefahaman beragama menguatkan amalan sifat terpuji.

Justeru, tujuan melakukan perbuatan baik untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sudah tentu memperolehi sifat mahmudah itu tidak sesekali muncul tanpa adanya pancaran yang membuka laluan garis kelembutan kerohanian. Kedalaman ilmu itulah pintu yang membuka laluan kepada kehalusan ruhaniah (latifah ruhaniyyah) ketika ia melalui akal, qalb, diri, dan ruh.

semua ini menanti dan menerima ketibaan makna diri sekali gus menjadi insan manusiawi. Sifat ini membezakan kita dengan sifat hayawani – sifat mazmumah.

Menjadi pemimpin yang berilmu tidak sesekali mudah terjerumus ke lembah kehinaan. Pemimpin berilmu tidak tunduk penindasan dan kezaliman. Bahkan dikuasai daya gerak dan indera berdaya nafsu dan syahwat.

Pemimpin yang tidak punya indera batin insani hanya menzahirkan ciri pemimpin bernafsukan sifat marah (al-ghadabiyyah) Kerana sifat itu tidak lahir dari akal salim. Maka perlu untuk mencapai akal yang mengecapi hikmah. Segala syahwat dan kemarahan berjaya dikawal oleh akal.

Jelas ilmu dan amal seiring bersumberkan pancaran batin. Baik batinnya maka baik perilakunya. Perbuatan baik hadir dari ketibaan makna kebahagiaan yang jelas. Sehingga ia meresap menjadi perangai diri.

Maka perangai tersebut hasil cerminan kebahagiaan dari pertimbangan sesuatu perbuatan baik dan buruk.

Sukar mencari pemimpin yang memiliki buah fikiran dan tindak laku dari suluhan pancaran hikmah untuk masyarakat yang dipimpinnya. Betapa pentingnya menghadirkan pemimpin yang sempurna lahiriah dan batiniah demi kemaslahatan masyarakat.

Tolak dan buanglah sedalam-dalamnya sifat pemimpin bernafsu haiwani.

Pilihlah pemimpin berakhlak. Bukan pemimpin yang menipu rakyat.

Pemimpin dambakan kebahagian (sa’adah), bukan kecelakaan (shaqawah)!

Carilah pemimpin yang membawa kita jalan ke syurga! – 4 November, 2022.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen