AGENSI antirasuah telah membuka kertas siasatan bagi meneliti surat akujanji yang dikatakan menyokong Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata pihaknya telah menerima laporan mengenai perkara itu dan akan mulakan siasatan.
“SPRM akan buka kertas siasatan supaya perkara itu dapat diteliti,” katanya seperti dipetik The Star hari ini, menambah perkara itu akan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM kerana salah guna kuasa.
Azam turut berkata pihaknya akan memanggil beberapa individu untuk disoal siasat.
“Biar pegawai saya tentukan siapa nak panggil. Mereka akan buat demikian selepas tengok dokumen yang sudah diserahkan kepada mereka,” katanya.
Surat akujanji itu terbongkar selepas surat akujanji Umno yang dikatakan ditandatangani oleh ahli Parlimen parti itu dikongsi di media sosial.
Ia itu menunjukkan beberapa ahli Parlimen menyokong Ahmad Zahid untuk menjadi perdana menteri selepas PRU15.
Antaranya ialah penyandang Lenggeng Shamsul Anuar Nasarah dan calon Barisan Nasional (BN) di Sungai Buloh Khairy Jamaluddin, yang mana mereka telah nafikan.
Khairy sebaliknya berkata beliau menandatangani akujanji BN, bukannya Umno, yang menyokong perdana menteri Ismail Sabri Yaakob supaya terus berkhidmat selepas PRU15, mendakwa ia adalah pendirian BN seperti yang diumumkan Ahmad Zahid.
“Tak ada saya tandatangan surat dengan letterhead Umno yang menyatakan akujanji seperti yang ditularkan,” katanya.
Awal hari ini, Ahmad Zahid mendakwa surat akujanji itu adalah palsu, menyifatkan ia adalah fitnah dan tipu daya yang digunakan pihak lawan sebagai kempen menjelang PRU15.
“Mereka fikir BN macam mereka agaknya, sejurus menang PRU14 dan jadi kerajaan terus menggugurkan kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin mereka,” kata pengerusi BN itu di Facebook.
Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama mana-mana parti politik. – 3 November, 2022.
Komen