SURAT aku janji yang kononnya perlu ditandatangani calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Umno, yang kini tersebar di media sosial adalah tindakan merapu lawan politiknya, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Sejak beberapa hari lalu tersebar di media sosial aku janji dengan kepala surat Umno bagi menyokong Zahid jadi perdana menteri kesepuluh.
Mengulas surat aku janji yang didakwa ditandatangani penyandang kerusi Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah itu, Zahid menyifatkannya fitnah dan tipu daya yang digunakan lawan sebagai kempen menjelang PRU15.
“Semasa BN (Barisan Nasional) berusaha mengajak rakyat untuk bersama memulihkan negara pada PRU15, lawan BN tidak habis-habis menabur fitnah dan tipu daya sebagai bahan ‘kempen’.
“BN berusaha menyatakan kebenaran, mereka pula gigih menyebarkan ‘surat aku janji’ palsu yang kononnya perlu ditandatangani oleh calon Umno.
“Mereka fikir BN macam mereka agaknya, sejurus menang PRU14 dan jadi kerajaan terus menggugurkan kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin mereka,” tulis Zahid yang juga pengerusi BN di Facebook.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan secara khusus mana-mana parti.
Penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata lawan BN sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri, sambil menggesa taktik sebegini dihentikan.
“Dulu mungkin mudah untuk mereka membohongi dan memperdaya rakyat dengan taktik sebegini.
“Hari ini rakyat Malaysia adalah masyarakat yang rasional dan mudah memahami antara kebenaran dan kebatilan. Tidak sukar mereka `membaca’ pembohongan itu.
“Fitnah terbaru lawan BN ini menjadi bukti jelas lagi kukuh mengapa rakyat perlu menolak mereka dan pastikan mereka ini tidak menang apatah menjadi kerajaan semula,” katanya.
Selain Shamsul Anuar, calon BN di Sungai Buloh Khairy Jamaluddin juga didakwa menandatangani aku janji dengan kepala surat Umno tersebut.
Khairy juga menegaskan beliau menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri kesepuluh. – 3 November, 2022.
Komen