MIC akan tetap bertanding di kerusi Parlimen Batu seperti yang diumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi malam tadi, kata presidennya S A Vigneswaran.
Beliau menolak dakwaan Presiden MCA Wee Ka Siong awal hari ini, yang berkata kerusi Parlimen Batu diberi kepada parti itu sebagai pertukaran kerusi Padang Serai yang diserah kepada MIC.
“Yang paling mustahak pengumuman mesti dibuat pengerusi BN (Zahid). Jika Datuk Sri Wee Ka Siong nak buat apa-apa, beliau mesti maklumkan kepada pengerusi, bukan buat pengumuman.
“Dah terlambat nak tukar kerusi. MIC telah putuskan akan bertanding di Batu. Muktamad,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC hari ini.

Vigneswaran seterusnya berkata sebarang pengumuman berkait PRU15 hendaklah diumum oleh pengerusi BN, bukan presiden parti komponen.
Apa sahaja kenyataan dan isu berbangkit harus dirujuk kepada Zahid selkau pengerusi BN, ujarnya.
“Yang paling mustahak pengumuman mesti dibuat pengerusi BN (Zahid). Jika Datuk Sri Wee Ka Siong nak buat apa-apa, beliau mesti rujuk kepada pengerusi, bukan buat pengumuman.
“Kerusi Batu adalah antara MIC dan Kimma (Kongres India Muslim Malaysia), tak ada kena mengena dengan MIC.
“Akhirnya Kimma dapat Puchong, kami dapat Batu,” ujarnya.
Terdahulu, Wee pada sidang media di Wisma MCA berkata calon dari partinya akan bertanding di kerusi Parlimen Batu pada PRU15 bukannya calon MIC.
Kerusi Btu diberi kepada MCA sebagai pertukaran bagi kerusi Padang Serai telahpun diberi kepada MIC, katanya, menambah keputusan itu dicapai hasil perbincangan dengan Zahid malam tadi. – 2 November, 2022.
Komen