MCA hari ini berkata ia akan bertanding di kerusi Parlimen Batu di Kuala Lumpur dan bukannya MIC seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.
Presiden parti Wee Ka Siong memberitahu pemberita bahawa perubahan itu dibuat berikutan perbincangan dengan Zahid malam tadi.
Beliau berkata MCA diberi kerusi Batu sebagai pertukaran untuk kerusi Padang Serai yang diberikan kepada MIC.
“Selepas bertemu dengan pengerusi BN, ia mengesahkan bahawa Batu sememangnya milik MCA,” kata Wee.
Semalam, Zahid semasa majlis pelancaran calon BN untuk pilihan raya umum (PRU15), mengumumkan bahawa A Kohilan Pillay dari MIC akan bertanding di Batu.
Wee bagaimanapun hari ini berkata calon MCA untuk kerusi Batu ialah Yew Teong Lock.
Pengumuman Wee pagi ini juga menjelaskan keputusan MIC yang tidak hadir pada majlis pengumuman calon malam tadi.
Parti itu juga mengadakan mesyuarat tergempar hari ini untuk memutuskan pendiriannya mengenai PRU15.
Sumber sebelum ini berkata MIC kecewa dengan pengagihan kerusi.
Awal hari ini, Presiden MIC S.A. Vigneswaran menyifatkan drama politik semasa dalam BN sebagai “isu keluarga” dan berkata bahawa jawatankuasa kerja pusat parti itu sedang bermesyuarat untuk menyelesaikannya.
Timbalan presiden parti M. Saravanan dalam pada itu berkata ketidakhadiran MIC pada majlis malam tadi adalah kerana bakal calonnya sibuk dengan persiapan di kawasan masing-masing.
17 muka baharu MCA
Wee juga berkata MCA meletakkan 17 muka baharu sebagai calon untuk pilihan raya kali ini.
Secara keseluruhannya, parti itu bertanding di 44 kerusi termasuk Batu.
Ini juga bermakna MIC akan bertanding di sembilan kerusi sahaja.
Wee juga berkata MCA diberi kerusi Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur dalam perjanjian pertukaran dengan Umno dengan parti Melayu itu mengambil alih kerusi Wangsa Maju. – 2 November, 2022.
Komen