Jangan berlebihan beribadah sehingga lupa hak alam


Mohd Syazreen Abdullah

KESALEHAN bukan sebatas ritual ibadah. Kesalehan termasuk hal-hal sosial terhadap tumbuhan dan haiwan – memelihara alam sekitar. Kesalehan sosial tidak pada ruang lingkup hidup manusia sahaja tetapi termasuk tidak mengeksploitasi alam semesta sehingga memusnahkan.

Jika alam rosak, tentu rosak kehidupan manusia. Justeru, tiada kedamaian hidup manusia melainkan berbudi dengan alam.

Kita tidak dapat boleh hidup baik andai sistem kehidupan kita bersangkut alam sering diabaikan.

Malang, tidak banyak pemimpin dan agamawan mahu lantang menyampaikan kesedaran dan kepentingan kesalehan terhadap alam. Seolah tidak merasakan berbudi pada hak-hak alam ini merupakan fardu ain dan besar di sisi agama.

Kita tidak pernah serik dan insaf terhadap kepentingan memelihara alam. Seringkali bencana alam kita selalu sudahi dengan sikap reda sebagai ketentuan dan takdir yang tidak boleh dielakkan.

Agamawan pula mudah mendalilkan bumi sudah tua dan bencana sebahagian hal-hal yang tidak boleh dielakkan untuk berlaku. Seakan ia sunnahtullah.

Jadi kita diajar dari agama menerima konsep reda terhadap bencana yang menimpa. Pada masa sama tidak putus-putus rakus menghancurkan alam. Walhal agama tidak mengajarkan begitu.

Manusia seakan-akan tidak pernah tahu alam sebahagian dalam dirinya. Sebagaimana ia manifestasi daripada penzahiran Tuhan.

Memusnahkan alam adalah meruntuhkan kemanusiaan seseorang. Malulah kita kepada makhluk Allah yang sentiasa bertasbih memuji ilahi. Namun, kerakusan manusia tergamak sampai memusnahkan alam sekitar yang tidak putus-putus memuji ilahi.

Bagi manusia beragama alam tidak pernah bersifat natural, ia sentiasa dipenuhi nilai-nilai agama. Sebagaimana disebutkan oleh sarjana Islam Syed Hossein Nasr dalam karya Man and Nature bahawa semua ilmu kosmologi bertaut dengan wahyu ilahi. Sesungguhnya alam menghidupi hayat ruhani.

Hari ini tiada slogan berbudi pada alam. Hatta dari suara agamawan mahupun orang-orang politik. Slogan itu tidak mesra dibibir pemimpin dan agamawan mahupun tokoh-tokoh masyarakat. Kalau laung pun sekadar laungan sia-sia. Di hadapan tunjuk seolah kasih terhadap alam, sebaliknya tangan di belakang rakus memusnahkannya – munafik.

Kita seolah memisahkan agama dan alam. Kerana itu bencana persekitaran iklim seperti pencemaran air dan udara dikaitkan dengan faktor bumi. Tidak ada kesedaran terhadap masalah-masalah alam lain seperti kerosakan jalan dan saluran air, banjir sehingga ia membunuh manusia.  Fenomena banjir pasti memberikan kesan negatif kepada kehidupan manusia. Kerakusan aktiviti penebangan hutan juga menyumbang kerosakan kemanusiaan.

Ironi, biarpun semakin hidup dalam teknologi kemodenan bagi melestarikan kehidupan lebih baik, hakikatnya kita semakin menuju kepada kehancuran global. Bukan teknologi menyumbang kerosakan, tetapi manusia sendiri asbab kerosakan tersebut.

Mereka adalah manusia yang tidak bersyukur dan gagal memahami peri penting kedudukan alam dalam kehidupan beragama.

Allah melaknati orang yang berlaku zalim dan memusnahkan kemanusiaan. Menzalimi alam semester termasuk dosa menzalimi kemanusiaan. Bahkan, usaha mencintai alam jarang didedahkan dan diajar dalam kuliah-kuliah agama.

Sebaliknya umat diajar berlebihan soal ibadah solat, haji, puasa berbanding soal kepentingan kasihkan alam. Ada orang berlebihan dalam beragama sehingga melupakan hak-hak alam yang patut ia utamakan.

Contoh hadis nabi menukilkan ketika nabi melalui satu kawasan dan melihat Saad sedang berwuduk. Baginda bersabda: “Pembaziran apakah ini? Saad bertanya: “Adakah  terdapat pembaziran dalam berwuduk?” Baginda menjawab: “Ya, walaupun kamu berada di sungai yang mengalir.” – Hadis riwayat Ibn Majah.

Daripada kisah ini walau atas nama ibadah sekali pun jika dilakukan dalam berlebihan sehingga melupakan hak-hak alam seperti melakukan pembaziran tetap menjadi kesalahan dalam beragama.

Pernah Nabi SAW mengingatkan bahawa tanda orang yang muflis di akhirat apabila mereka berlebihan tentang solat, puasa dan haji tetapi mengabaikan kemanusiaan.

Nabi SAW pernah bertanya kepada sahabat tentang kemuflisan: Tahukah kalian siapakah orang yang muflis?

Mendengar pertanyaan Nabi yang sangat mudah ini para sahabat cepat menjawab: “Dia adalah orang yang tidak punya kekayaan.” Nabi tersenyum dan mengatakan: “Oh bukan, sama sekali bukan.”

Baginda menjelaskan orang yang muflis ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa senarai daftar pahala solat, puasa, dan zakat tetapi dalam waktu yang sama dia juga membawa senarai daftar kezaliman.

Kezaliman di sini termasuklah melupakan hak-hak asasi seperti berlaku zalim kepada alam semesta.

Hadis lain yang sering diingatkan Baginda betapa penting menjaga alam.

Dari Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Aku telah melihat seorang lelaki yang bersenang-senang di dalam syurga kerana dia telah membuang kayu yang melintangi jalan dan kayu tersebut menganggu orang yang melaluinya.”

“Sesiapa yang menebang “Sidr” (pohon bidara) Allah SWT akan membenamkan kepalanya dalam api neraka.” – Hadis Riwayat Abu Dawud.

“Madinah adalah haram dari kawasan ini hingga ke Kawasan ini, diharamkan menebang pokoknya dan diharamkan membuat bidaah di dalamnya. Sesiapa yang melakukannya maka dilaknat oleh Allah, para malaikat dan seluruh manusia.” – Hadis Riwayat al-Bukhari.

“Sesungguhnya dunia itu manis dan hijau, dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu khalofah di dunia agar Allah SWT dapat melihat apa yang kamu kerjakan.”- Hadis riwayat Muslim.

Sayang seribu kali sayang, hadis-hadis ini jarang kita dengar di kuliah-kuliah agama. Sebagaimana disebutkan hadis bahawa kesalehan ibadah solat, haji, puasa dan zakat tidak punya apa-apa meskipun besar pahala ganjaran sekiranya ia datang dengan perilaku-perilaku zalim terhadap sosial – alam semesta.

Walau bagaimanapun, kesalehan sosial muncul dengan kesedaran dan penghayatan amanah sebagai hamba dan khalifah untuk berbakti memakmurkan bumi.

Dengan kepatuhan pada agama dan ilmu kita tidak mudah berfikir bahawa alam dan agama suatu yang terpisah sekali gus berupaya memastikan hakikat alam itu sentiasa dihargai, dihormati dan tidak dilanggari dengan nafsu kerakusan duniawi.

Berdasarkan hadis-hadis di atas, boleh kita bayangkan betapa sikap pemimpin hari ini begitu rakus tidak rasa bersalah merosakkan alam seperti pembalakan.

Sikap ambil mudah dan culas terhadap bencana banjir sehingga banyak nyawa terkorban. Bahkan sekiranya Adam yang memetik sebiji buah di pohon sudah dicampak di dunia, bagaimana kita yang rakus menebang pokok, culas terhadap bencana banjir yakin akan masuk syurga?

Tidak takutkah kita pada janji Tuhan dan hadis nabi bahawa orang-orang yang berbuat zalim dan melupakan hak-hak alam itu termasuk dalam kalangan dilaknati Tuhan?– 28 Oktober, 2022.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen