Pendaftaran GTA masih dalam proses, kata RoS


Semalam Pengerusi Penaja GTA Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata gabungannya akan menggunakan logo Pejuang dalam PRU15 nanti kerana kerajaan tidak luluskan pendaftaran GTA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2022.

PENDAFTARAN Gerakan Tanah Air (GTA) setakat ini masih diproses Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), kata Ketua Pengarah RoS Mohd Nawardi Saad.

“Belum diluluskan atau ditolak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini mengenai perkembangan pendaftaran GTA.

Pengerusi Penaja GTA Dr Mahathir Mohamad semalam dilaporkan berkata gabungan politik itu terpaksa menggunakan Pejuang sebagai ganti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan kerajaan tidak meluluskan pendaftarannya.

GTA mengemukakan permohonan kepada RoS pada 18 Ogos lepas untuk didaftarkan selepas ia ditubuhkan pada 4 Ogos.

Gerakan itu dianggotai oleh Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Mohd Nawardi berkata masih terdapat pindaan draf yang perlu dilakukan membabitkan perlembagaan GTA agar selari dengan dasar dan undang-undang sedia ada.

“Kita tiada halangan untuk luluskan jika perlembagaan yang dicadangkan menepati dasar yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurut Mohd Nawardi wakil GTA hadir ke RoS hari ini untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pegawai RoS berhubung pendaftaran GTA.

Sebelum ini, dilaporkan GTA berhasrat untuk bertanding di kira-kira 120 kerusi Parlimen pada PRU15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November. – Bernama, 26 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen