PENGERUSI DAP Sarawak Chong Chieng Jen memberi gambaran baharu terhadap bayaran pendahuluan RM1 bilion kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) pada 2019 untuk membaiki sekolah usang di negeri itu.
Kerajaan GPS menyifatkan ia sebagai “pinjaman kontra” namun Chong mendakwa dana itu merupakan “geran terus” kerajaan PH kepada kerajaan negeri untuk mempercepakan penyelesaian isu sekolah usang di Sarawak.
Premier – sebelum ini ketua menteri Abang Johari Openg pada Februari 2019 bersetuju untuk membayar pendahuluan RM1 bilion kepada Putrajaya dengan persefahaman wang itu akan digunakan untuk membaiki ribuan sekolah usang di Sarawak.
Naratif Chong adalah bayaran itu sebagai bayaran balik pinjaman kerajaan negeri kepada Persekutuan yang pada Disember mencecah RM2.5 bilion dan menteri kewangan ketika itu Lim Guan Eng menuntut Sarawak menyelesaikan hutang RM1 bilion kepada Putrajaya sebelum peruntukan untuk membaiki sekolah usang di negeri itu diberikan.
Chong berkata dalam prosedur biasa, sebarang pembayaran balik pinjaman akan dimasukkan ke dalam tabung disatukan yang kemudiannya disalurkan ke pelbagai negeri untuk projek dan program mengikut proses belanjawan.
Namun katanya, mengembalikan seluruh RM1 bilion ke Sarawak untuk membaiki sekolah usang itu bertentangan dengan proses belanjawan.
“Tak pernah berlaku dalam sejarah negara jumlah keseluruhan bayaran balik itu disalurkan balik kepada negeri yang meminjam,” katanya.
Chong yang bakal mempertahankan Parlimen Stampin pada pilihan raya berkata itu merupakan amalan ketika Barisan Nasional berkuasa dan masih diamalkan sehingga sekarang di mana RM1 bilion itu disalurkan kembali sebagai geran terus.
Malah katanya Guan Eng sendiri terpaksa melakukan perkara di luar kebiasaan untuk memastikan seluruh pembayaran itu kembali ke Sarawak.

Dalam salah satu kenyataannya, Chong menyebut ketika Guan Eng menawarkan untuk menyalur semula bayaran balik RM1 bilion itu sebagai geran terus untuk membaiki sekolah usang di Sarawak ia merupakan tawaran luar biasa kerana negeri itu diberikan layanan utama.
Tambahnya, sesiapa yang memahami proses dan prosedur kewangan kerajaan pasti akan menghargai layanan utama tersebut.
Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Lukanisman Awang Sauni membidas kenyataan Chong yang disifatkan cuba menutup juga membebaskan Guan Eng dan kerajaan PH ketika itu terhadap ketidakmampuan mereka membantu anak Sarawak.
Penyandang Parlimen Sibuti itu mengulangi naratif GPS dengan berkata apabila kerajaan negeri memutuskan untuk membuat pendahuluan RM1 bilion daripada dana sendiri kepada kerajaan Pusat bagi mempercepatkan kerja baik pulih sekolah usang di negeri itu, “kerana kami percaya kewangan Putrajaya terjejas”.
Lukanisman berkata apa yang jelas adalah “dibuli kerajaan PH dan Guan Eng” serta Chong akan terus membantu “tuan politiknya di Malaya”.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman berkata penjelasan Chong di mana Putrajaya memberi Sarawak layanan utama dengan menyalurkan RM1 bilion sebagai geran terus adalah cubaan memutar belit fakta.
“Itu bukan ‘layanan utama’, ia adalah ‘layanan paling diutamakan’.
“Kerajaan persekutuan pada masa itu adalah PH dan boleh mengeluarkan dana sendiri untuk membaiki sekolah usang itu jika mereka mahu. Tetapi mereka tidak melakukannya,” katanya. – 25 Oktober, 2022.
Komen