MASIH timbul persoalan tentang bagaimana kerajaan persekutuan akan menggunakan pinjaman RM1 bilion disediakan Sarawak untuk membaiki sekolah daif di negeri itu.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang terbang ke Kuching untuk membincangkan isu itu dengan Ketua Menteri Abang Johari Openg tengahari tadi, pada mulanya memberitahu wartawan selepas mesyuarat lebih sejam itu yang “ia berdasarkan ‘contra’...kembali kepada cadangan asal”.
Bagaimanapun, seorang pembantu kanan mencelah dan berkata “bukan begitu”.
Apabila diminta untuk menjelaskan lebih lanjut, jawapan yang diterima adalah pengumuman akan dibuat apabila sampai masanya.
Memandangkan pendidikan adalah bidang kuasa kerajaan persekutuan, kerajaan negeri tahun lepas menawarkan bantuan pinjaman kepada Pakatan Harapan untuk membaiki lebih 1,000 sekolah daif di negeri itu.
Putrajaya hanya menerima tawaran itu pada Februari lalu dan perjanjiannya berdasarkan ‘contra- jumlah pinjaman itu akan ditolak daripada hutang kerajaan negeri kepada pusat yang mencecah RM2 bilion.
Tetapi, dalam masa kurang sebulan, Putrajaya mengubah keputusan yang mengejutkan pemimpin Sarawak, bertegas supaya Sarawak memindahkan RM1 bilion kepada kerajaan persekutuan dan sebarang keputusan mengenai wang tersebut akan diputuskan kerajaan pusat.
Abang Johari menolak cadangan itu kerana tiada jaminan kerajaan persekutuan akan menggunakan wang tersebut untuk membaiki sekolah daif di negeri itu.
Beliau turut mengecam Putrajaya yang disifatkan terlalu “ego”.
Menteri Pendidikan Sarawak Michael Manyin minggu lepas berkata perubahan keputusan kerajaan persekutuan menyebabkan sukar untuk negeri berurusan dengan Putrajaya.
Maszlee dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas pertemuan dengan Abang Johari hari ini berkata, kedua-dua pihak bersetuju “untuk memperhalusi kaedah pembiayaan dana dan pelaksanaan projek bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan telus.” – 24 April, 2019.
Komen