LAPORAN polis telah dibuat selepas sekumpulan pemuda membuat kecoh ketika Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sedang menyampaikan ceramah di Muar, Johor malam tadi, kata ketua Muda Maharani.
Amir Fiqri berkata laporan itu dibuat di balai polis Muar hari ini, mendakwa mereka telah menyerahkan semua bukti berhubung kejadian itu kepada pihak berkuasa.
“Selesai buat laporan polis berkenaan satu insiden provokasi yang dilakukan oleh sekumpulan remaja pada Ceramah Mega Muar malam tadi.
“Bukti bergambar dan video telah diserahkan untuk siasatan polis,” kata Amir di Twitter.
Ceramah Mega Muar di Johor malam tadi bertukar kecoh apabila penyandang Parlimen Muar Syed Saddiq naik ke podium.
Kira-kira 30 remaja mula mencemuh Syed Saddiq, menjerit “penipu” ketika ahli Parlimen itu bercakap mengenai bantuan yang telah beliau berikan kepada rakyat dalam tempoh dua tahun lepas.
Kekecohan itu menarik perhatian Syed Saddiq yang kemudiannya menghentikan ucapannya dengan berkata beliau tidak mempunyai masa untuk berhujah dengan pengacau dan mendakwa sedih dengan keadaan itu.
Polis yang hadir di lokasi bertindak masuk bagi mengelakkan sebarang pergelutan antara remaja berkenaan dan anggota Muda. Polis menghalang kumpulan yang berarak ke hadapan dan mengarahkan mereka beredar, memaksa golongan remaja itu keluar dengan motosikal mereka.
Beberapa minit selepas Syed Saddiq menyambung ucapannya kumpulan remaja itu kembali ke tempat kejadian, membuat bunyi bising dengan menghidupkan pendikit motosikal mereka, cuba mengganggu acara itu.
Sekumpulan remaja itu kemudian melarikan diri dari tempat kejadian apabila melihat polis menuju ke arah mereka.
Amir berharap kejadian itu tidak berulang, menambah budaya gengsterisme harus ditolak.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Muar Helmy Abdul Latif menolak kaitan partinya dengan insiden itu.
Katanya, tiada arahan daripada beliau atau pihaknya untuk melakukan perbuatan sedemikian.
“Saya bagitahu kat sini yang saya berani bersumpah tiada arahan dari saya selaku Ketua Pemuda Umno Bahagian Muar untuk buat perkara terkutuk ni. Saya menentang sekeras kerasnya. Kami tiada masa untuk ini,” katanya di Twitter.
Difahamkan Pemuda Umno Muar juga telah membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq dan beberapa lagi anggota Muda kerana menuduh parti itu sebagai dalang kejadian tersebut.
Pembantu Syed Saddiq, Farhan Iqbal mendakwa para remaja itu dibayar untuk membuat provokasi pada majlis itu.
Malah beliau menuduh pemuda Umno tulang belakang kejadian itu. – 17 Oktober, 2022.
Komen