Ceramah Syed Saddiq kecoh, sekumpulan remaja buat kacau


Kira-kira 30 remaja yang tidak dikenali membuat kekecohan ketika Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sedang menyampaikan ucapannya pada majlis itu malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Oktober, 2022.

KEKACAUAN tercetus di Ceramah Mega Muar, Johor ketika Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sedang menyampaikan ucapannya pada majlis itu malam tadi.

Kira-kira 30 remaja yang tidak dikenali tiba-tiba mencemuh Syed Saddiq dan menjerit “penipu” ketika ahli parlimen Muar itu sedang menyampaikan ucapannya, bercakap tentang bantuan yang ditawarkannya selama dua tahun lalu.

Kekecohan itu menarik perhatian Syed Saddiq yang kemudiannya menghentikan ucapannya dengan berkata beliau tidak mempunyai masa untuk berhujah dengan pengacau dan mendakwa sedih dengan keadaan itu.

“Saya sedih melihat keadaan anak-anak Muar.

“Saya tak ada masa nak lawan dengan mereka kerana saya di sini nak bela orang Muar dan bukannya nak biar mereka (rakyat Muar) susah dan sengsara. Tak apa biarkan,” kata bekas menteri belia dan sukan itu.

Polis yang hadir di lokasi bertindak masuk bagi mengelakkan sebarang pergelutan antara remaja berkenaan dan ahli Muda.

Polis menghalang kumpulan yang berarak ke hadapan dan mengarahkan mereka beredar, memaksa golongan remaja itu keluar dengan motosikal mereka.

Pada masa sama orang ramai yang menghadiri majlis itu turut menjerit kepada sekumpulan remaja itu meminta mereka pulang.

Farhan Iqbal yang merupakan pegawai khas kepada Syed Saddiq percaya sekumpulan remaja itu dibayar untuk membuat provokasi dengan sengaja pada majlis berkenaan.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sedang menyampaikan ucapannya pada Ceramah Mega Muar, Johor malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Oktober, 2022.

Beberapa minit selepas Syed Saddiq menyambung ucapannya kumpulan remaja itu kembali ke tempat kejadian, membuat bunyi bising dengan menghidupkan pendikit motosikal mereka, cuba mengganggu acara itu.

Syed Saddiq kemudian berkata beliau akan bersedia untuk berdebat pada bila-bila masa dan bukannya berdepan masalah.

“Jika mereka mahu mengugut (dengan apa sahaja yang mereka lakukan), kita lawan.

“Tetapi kita melawan dengan hujah, tidak menggunakan kaedah mereka yang merupakan semangat sebenar seorang anak Muar.

“Jika mereka fikir mereka boleh menyuruh kami diam dengan motosikal mereka, maka mereka silap,” katanya.

Sekumpulan remaja itu kemudian melarikan diri dari tempat kejadian apabila melihat polis menuju ke arah mereka.

Syed Saddiq kemudian mengakhiri ucapannya yang berlangsung kira-kira 20 minit dan menamatkan acara itu.

Antara lain yang menghadiri majlis itu termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Bagaimanapun mereka tidak diganggu ketika menyampaikan ucapan. – 17 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen