PARTI Muda mengintai peluang bertanding di kerusi majoriti Melayu Titiwangsa dengan menggerakkan siri ceramah mereka di Kampong Bharu, Kuala Lumpur pada malam tadi.
Pemimpin parti mengakui hasrat tersebut ketika ditemui The Malaysian Insight dalam acara yang turut memperkenalkan aktivisnya, Siti Rahayu Baharin, 41, sebagai calon Muda dalam PRU15.
Siti Rahayu juga menegaskan beliau sememangnya berhasrat menjadi ahli Parlimen di kawasan di tengah kota Kuala Lumpur.
“Saya orang parti, niat saya masuk politik kerana untuk bersuara di Parlimen. Itu saya jelas, saya dah tawarkan diri kepada Muda untuk jadi calon.
“Di mana nak letak terpulang, waima nun ceruk di Kedah saya terima,” katanya yang merupakan aktivis Buku Jalanan Chow Kit, salah satu NGO yang aktif di kawasan tersebut.
Badan itu yang bermula sejak tujuh tahun lalu sebagai perpustakaan awam menggerakkan usaha membantu kanak-kanak dari keluarga miskin di sekitar kawasan Chow Kit di ibu negara.
Ia antara lain menyediakan pendidikan percuma dan kini mensasarkan untuk meluaskan jangkauannya untuk membantu kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Saya memang berada di sini, pejabat saya di sini, Kelab Sultan Sulaiman tempat saya selalu buat aktiviti, tetapi bertanding di Parlimen mana saya tak pasti.
“Kalau boleh di tengah kota di tempat yang saya berkhidmat selama tujuh tahun ini, tetapi di mana dicampak saya akan berkhidmat,” katanya ketika ditemui dalam acara di Kelab Sultan Sulaiman itu.

Menurut Siti Rahayu, beliau ingin menjadi ahli Parlimen supaya dalam memanjangkan lagi jangkauan kerja-kerja aktivisme itu.
“Manifesto saya, antara perkara saya nak perjuangkan adalah dasar rakyat mudah mencari rezeki dan pendidikan berkualiti untuk semua. Itu yang saya ingin bawa.”
Titiwangsa yang merupakan kawasan pengundi majoriti Melayu paling besar di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur kini menjadi rebutan pelbagai parti politik.
Jumlah pengundi Melayu membentuk 70% di Titiwangsa, diikuti Cina 17.3% dan India 9.42%.
Seramai lebih 55,300 pemilih layak mengundi di situ dalam PRU14, dan jumlahnya dianggarkan bertambah lebih 20,000 termasuk pengundi berusia 18 tahun ke atas dan pengundi pertama kali.
Ia salah satu dari beberapa kerusi yang hanya selesai dirundingkan pada saat akhir sebelum PRU14 diadakan selepas dituntut oleh PKR dan Amanah.
Amanah tetap berhasrat untuk merampas kerusi tersebut, berdasarkan kenyataan naib presidennya Mujahid Yusof semalam bahawa parti itu akan bertanding di kesemua kerusi Bersatu.
Parti itu yang menuntut untuk bertanding di Titiwangsa, Bandar Tun Razak dan Putrajaya juga masih kesal kerana perjanjian PH Kuala Lumpur bagi rundingan kerusi masih belum dipenuhi.
Kawasan menempatkan kampung Melayu tradisi Kampong Bharu, Kampung Pandan, dan Datuk Keramat itu dimenangi silih berganti oleh Umno, PAS dan Bersatu sejak kawasan Parlimen itu ditubuhkan pada 1986.

Ketua Umno Titiwangsa Johari Abdul Ghani dikatakan antara nama besar yang akan dicalonkan bertanding di kawasan itu.
Beliau merupakan bekas ahli Parlimen Titiwangsa dan menteri kewangan II ketika zaman pentadbiran Najib Razak, namun tewas kepada calon Bersatu Rina Harun pada PRU14.
Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang merupakan ketua Bahagian Bersatu Titiwangsa disebut-sebut akan menggantikan Rina bertanding di situ dalam PRU15.
Turut ditemui di acara yang bermula jam 8.30 malam tadi Pengerusi Muda Wilayah Persekutuan Taufiq Zarak yang tidak menafikan Muda sedang mengintai peluang di Parlimen Titiwangsa.
Muda sewaktu mengumumkan akan bertanding PRU15 juga sudahpun menyebut akan bertanding di semua kerusi Bersatu, yang termasuk Titiwangsa.
Bagaimanapun peluang Muda bertanding di Titiwangsa tetap tertakluk kepada perbincangan bersama parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) yang juga berminat, kata Taufiq.
“Di Titiwangsa banyak juga komponen parti lain (sedang) tengok, Muda juga begitu tapi kita lihat balik keputusan yang akan ditetapkan PH dengan Muda. Dapat atau tidak kita serahkan kepada mereka.
“Tiada anggaran sasaran (kerusi bagi Muda), di KL juga (ada kawasan) PH dengan komponen mereka, itu bukan tujuan kita nak lawan mereka. Kita tumpu lawan BN, itu objektif kita sama.”
Mengulas lanjut, Taufiq berkata setakat ini juga Muda Wilayah Persekutuan fokus menggerakkan jentera dan ahli untuk bersedia di mana sahaja kawasan yang berkemungkinan akan ditandingi.
“Tak boleh nak kata ada berapa tempat di Wilayah Persekutuan kita sedang lihat. Itu belum jelas, kita serah kepada pimpinan untuk berbincang dengan PH.
“Tetapi akar umbi kita bersedia,” kata Taufiq lagi ketika ditemui dalam ceramah yang turut membariskan Setiausaha Agung Amir Abd Hadi dan ahli DAP Mandeep Singh.

Dalam ucapannya, Amir antara lain menggesa pemilih keluar mengundi kerana menurutnya kumpulan perompak dan penyamun akan mendapat sokongan jika tidak berbuat demikian.
Katanya, sekiranya rakyat enggan mengundi, kumpulan lawan dari Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) akan berupaya membentuk kerajaan.
“Mereka yang tak keluar mengundi bermakna mereka mengundi bersama perompak dan penyamun duit rakyat kerana kalau kita tak keluar mengundi yang menang BN dan PN.
“Kita tak mahu masa depan anak anak kita terkesan, berbilion (ringgit) duit rakyat hilang. Kalau kita tumbangkan mereka sekali lagi lebih banyak skandal didedahkan dan lebih ramai akan ke muka pengadilan,” katanya.
Titiwangsa lokasi pertama siri ceramah Sidang Rakyat: Siri Ceramah Kelompok Muda yang digerakkan parti itu sejak Parlimen dibubarkan, dan akan diteruskan ke Muar, Johor pada malam ini.
Komen