Saingan sengit rebut undi Melayu di Titiwangsa


Mohd Farhan Darwis

Kerusi Titiwangsa menempatkan perkampungan Melayu Kampong Bharu, Kampung Pandan, dan Datuk Keramat itu dimenangi silih berganti oleh Umno, PAS dan Bersatu sejak ditubuhkan pada 1986. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2022.

KERUSI Titiwangsa dijangka menyaksikan persaingan sengit bagi merebut undi dari kawasan majoriti Melayu yang terletak di di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur itu.

Kawasan menempatkan perkampungan Melayu Kampong Bharu, Kampung Pandan, dan Datuk Keramat itu dimenangi silih berganti oleh Umno, PAS dan Bersatu sejak ditubuhkan pada 1986.

Pemimpin parti berkenaan juga saling menaruh keyakinan tinggi untuk merebut semula dan mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihan raya umum (PRU) yang bakal menjelang.

Naib Ketua Pemuda Umno Titiwangsa Muhamad Razali Tushan percaya Umno tiada masalah masalah merampas kembali kerusi itu dari tangan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Lebih-lebih lagi kerana bekas wakil rakyatnya Johari Abdul Ghani yang juga mantan menteri kewangan II tidak putus-putus memberikan di situ walaupun tewas pada PRU14, katanya.

“Beliau ketua bahagian Titiwangsa, beliau juga pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, tak salah kalau beliau nak bertanding sekali lagi dan jadi calon pada PRU15.

“Memang beliau bekerja, daripada selepas kalah walaupun bukan ahli Parlimen tetapi masih berhubungan dengan pengundi, memang beliau bekerja walaupun lepas kalah,” katanya.

Menurutnya Johari atau wakilnya sering turun padang menemui pengundi di kawasan terbabit khususnya dalam program melibatkan bantuan kebajikan.

Johari yang merampas kerusi itu dalam PRU13 bagi menamatkan penguasaan sepenggal PAS di kawasan kemudian tewas dalam PRU14 di tangan Ketua Srikandi Bersatu Rina Harun.

“Kawasan Titiwangsa ini majoritinya Melayu. Kalau tiada isu sensitif di Titiwangsa ini, insha Allah kita boleh menang,” kata Razali kepada The Malaysian Insight.

Jumlah pengundi Melayu di kawasan Parlimen Titiwangsa paling besar seramai sekitar 70.5%, diikuti Cina 17.3%, dan India 9.42%.

Seramai lebih 55,300 pemilih layak mengundi di situ dalam PRU14, dan jumlahnya dianggarkan bertambah lebih 20,000 termasuk pengundi berusia 18 tahun ke atas dan pengundi pertama kali.

Razali berkata, Umno mempunyai kelebihan kali ini kerana parti itu mempunyai organisasi cawangan dan akar umbi yang kukuh berbanding parti lawan.

Umno Bahagian Titiwangsa mempunyai kira-kira 87 cawangan berbanding Bersatu yang hanya mempunyai sekitar 22 cawangan di kawasan itu.

Tambahan pula, akar umbi parti itu juga masih mempunyai hubungan akrab dengan akar umbi PAS selepas penubuhan Muafakat Nasional (MN) pada September 2019.

“Kita bersama dengan PAS sejak MN. Kita masih bersama, cuma (pemimpin) di atas kita tak tahu yang di bawah masih bekerjasama.

“Mesyuarat Pemuda Umno kita jemput Pemuda PAS dan mereka datang,” kata Razali.

Hubungan baik kedua-dua parti itu juga katanya turut diterjemahkan dengan setiap Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di dalam Parlimen Titiwangsa yang turut disertai wakil PAS.

“Apa jua program yang melibatkan Umno mereka akan tolong dan akan datang. Memang akar umbi (PAS dan Umno) tidak ada masalah,” katanya.

Oleh itu, ia memberi keyakinan kepada BN untuk menawan segelintir hati pengundi yang pernah memilih PAS sebelum ini.

“Sebelum ini memang tidak ada pun (sebarang kerjasama), kalau dulu 100% tidak ada, sekarang ada penglibatan PAS dalam 30%.

“Daripada jumlah itu mungkin antara 5% hingga 10% akan undi BN. Siapa tahu, sebab mereka dah mula (kerjasama) dengan kita.

“Dulu ada batu sempadan sekarang bila dah ada kerjasama mereka pun boleh fikir secara rasional. Kita kena ingat, tidak semua orang taksub dengan pemimpin, mungkin mereka sekadar jadi ahli sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, BN tetap menghadapi kesukaran jika PN meletakkan calon PAS di Titiwangsa, berbanding calon Bersatu.

“Kalau PN letak calon PAS ada kemungkinan 50-50 untuk penyokong PAS pilih mana satu.

“Tetapi kalau calon Bersatu sudah pasti 70% hingga 80% (pengundi PAS) mesti ke BN sebab kita dah bersama mereka di akar umbi.

“Di peringkat akar umbi, Bersatu dan PAS dilihat tidak bersama,” tambahnya yang melihat ia bakal menjadi kelebihan buat BN.

Bersatu sedia hadapi Johari Abdul Ghani

Pemimpin Bersatu kawasan itu pula yakin akan dapat bertanding di situ berdasarkan persetujuan awal di antara parti komponen gabungan PN.

Ketua Bahagian Bersatu Titiwangsa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pembahagian kerusi ditetapkan berdasarkan status quo dan Rina merupakan penyandangnya sejak PRU14 lalu.

Ketua Armada Bersatu itu berkata, ketetapan itu membolehkan Bersatu bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa sekali lagi,

“Dari segi rundingan kerusi prinsip asas kita adalah kerusi penyandang milik parti, Titiwangsa milik Bersatu dalam PN.

Tetapi apa-apa pun keputusan terakhir terletak di tangan presiden, pada waktu ini asasnya milik Bersatu.

“Kita ada ahli Parlimen yang tak berhenti buat kerja, saya selaku ketua bahagian bersama Rina, saya susun Bahagian beliau susun Parlimen, kita buat kerja kita dari segi persiapan pilihan raya.”

Wan Ahmad Fayhsal juga mengakui Johari bekerja keras di kawasan itu walaupun selepas tewas pada PRU14.

Bersatu bagaimanapun bersedia menghadapi Johari sekali lagi sekiranya beliau dicalonkan Umno dan BN untuk mewakili mereka, katanya.

“Johari memang daripada awal buat kerja, (sejak) kalah tak pernah berhenti, Johari beliau seorang yang konsisten.

“Kita sedia berhadapan beliau jika beliau kalau beliau dicalonkan Umno BN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengakui Bersatu agak ketinggalan dari segi keahlian dengan sekitar 5,000 anggota namun mengharapkan pengundi Melayu bandar lebih peka dan celik isu semasa dan menolak BN.

“Walaupun jumlah kecil banding Umno tapi kita kena ingat di bandar pengundi atas pagar banyak. Mereka boleh pergi mana-mana.

“Kita harap pengundi bandar yang lebih celik akan memilih kita berbanding Umno BN,” katanya.

Rina pula ketika ditemui The Malaysian Insight berkata beliau meletakkan kepercayaan kepada pimpinan PN sama ada mahu meletakkan beliau di kawasan itu atau dipindahkan ke kawasan lain.

Namun begitu, khidmatnya kepada pengundi Titiwangsa masih tetap dilaksanakan, katanya.

“Keputusan bertanding di mana akan dibuat pucuk pimpinan dan setakat ini masih belum ada keputusan.

“Saya ikut arahan pucuk pimpinan parti, tetapi buat masa ini saya masih jalankan program dan aktif bergerak di Parlimen Titiwangsa,” katanya. – 12 Oktober, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen