Menyingkap perjalanan Parlimen ke-14


Fakhrurrazi Rashid

CERITA tentang Parlimen bukanlah satu topik yang popular. Ada yang mendakwa Parlimen ini untuk orang kayangan bersenang-senang dengan kuasa tanpa menghiraukan nasib rakyat.

Faktanya, pemikiran ini adalah kesan hegemoni Umno-Barisan Nasional (BN) yang mengawal majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat hampir 60 tahun.

Semua keputusan ketika itu dibuat oleh BN tanpa mengambil kira pandangan rakyat. Lebih mudah, Parlimen ketika itu hanyalah “rubber stamp”.

Parlimen adalah tempat kerajaan dibentuk secara demokratik, tempat peruntukan dan bantuan rakyat diluluskan, dan institusi yang menentukan hala tuju negara.

Tanpa institusi Parlimen yang demokratik, pentadbiran negara hanya menguntungkan pihak beberapa kerat. Dan, agenda reformasi Parlimen adalah usaha memastikan institusi ini terus tegak dan berfungsi buat rakyat.

Perdebatan mengenai pembaharuan Parlimen mendapat perhatian rakyat semula apabila BN gagal mendapat majoriti dua pertiga buat pertama kalinya dalam tempoh 60 tahun pada 2008.

Kesedaran ini terus meningkat apabila kebobrokan BN dan Najib Razak menekan peranan Parlimen dalam meneliti skandal 1MDB yang telah mencalarkan integriti negara di mata dunia.

Pertukaran kerajaan Persekutuan buat pertama kalinya pada Pillihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada Pakatan Harapan (PH) menyaksikan agenda reformasi Parlimen dilaksanakan secara meluas.

Mengubah landskap politik negara

Parlimen ke-14 membuka lembaran baharu landskap politik negara. Pertama, kerjasama dwipartisan kunci kejayaan dasar di Parlimen. Ketiga-tiga Kerajaan dibentuk selepas PRU14 tidak mempunyai majoriti dua pertiga.

Namun, pindaan Perlembagaan Persekutuan seperti mengurangkan had umur layak mengundi (Undi 18) dan pendaftaran automatik pengundi serta menghalang ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan majoriti dua pertiga dengan sokongan pembangkang. 

Lebih menarik lagi, kesemua pindaan ini diluluskan dengan perbincangan konstruktif antara Kerajaan dan Pembangkang. Berbeza sekali dengan amalan sewaktu hegemoni Umno-BN di Parlimen yang meminggirkan pandangan pembangkang.

Kedua, kesedaran orang awam mengenai kepentingan Parlimen kian meningkat. Sebahagian rakyat, khasnya anak muda, mula sedar betapa pentingnya proses perbahasan dan semakan isu penting di Parlimen supaya kerajaan lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.

Ini kerana rakyat sudah merasai kesan buruk pentadbiran lemah, seperti kerajaan Muhyiddin Yassin, yang tidak melalui semak dan imbang Parlimen ketika pandemik sehingga cuai dalam membantu rakyat yang memerlukan.

Berlaku juga insiden “dua darjat” apabila menteri melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dihukum, sebaliknya rakyat dikenakan tindakan yang lebih berat. 

Menolak pemikiran anti-demokratik

Namun, langit tidak selalunya cerah buat Parlimen. Percaturan politik memburukkan lagi kedudukan Parlimen. Kemarahan rakyat kian bertambah disebabkan wakil rakyat melompat parti dan memanipulasi institusi Parlimen.

Lebih membimbangkan lagi apabila terdapat sebahagian pemimpin negara yang berfikiran anti-demokratik, iaitu cuba meminggirkan Parlimen dalam mentadbir negara. Peranan Parlimen diperlekehkan agar perdana menteri dan Kabinetnya terus berkuasa tanpa tekanan daripada pihak lawan.

Bibit anti-demokratik ini kembali menghantui Parlimen di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin. Pertama, kerajaan PN menukar speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Yusof dan digantikan Azhar Azizan Harun atas alasan yang tidak munasabah pada 13 Julai, 2020.

Kedua, kerajaan Muhyiddin menukar Riduan Rahmat, setiausaha Dewan Rakyat yang dilantik tidak sampai tiga bulan, digantikan dengan Nizam Mydin, bekas pegawai Jabatan Perdana Menteri (JPM), kerana Riduan menerima usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin daripada beberapa ahli Parlimen.

Ketiga, menggantung fungsi Parlimen akibat pelaksanaan darurat dari 12 Januari hingga 1 Ogos, 2021 untuk memastikan kedudukan perdana menteri ketika itu tidak tergugat daripada ditekan ahli Parlimen. Proklamasi darurat ini juga menghalang Dewan Undangan Negeri bersidang dalam tempoh pandemik. 

Kita juga perlu ingat bagaimana kecuaian Takiyuddin Hassan, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) memberi jawapan tidak tepat di Dewan Rakyat berkenaan pembatalan Ordinan Darurat sehingga menjadi punca konflik antara kerajaan, Parlimen, dan Yang Di-Pertuan Agong yang mencetuskan krisis politik di tengah-tengah pandemik.

Peristiwa gelap Parlimen ini akhirnya memaksa Muhyiddin melepaskan jawatan dan digantikan Ismail Sabri Yaakob dengan sokongan tandatangan akuan bersumpah (SD) dan bukan undi percaya di Parlimen. 

Apakah perlu diteruskan?

Pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober lalu menjejaskan agenda perubahan Parlimen yang amat penting, iaitu membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen. RUU ini merupakan “ibu” kepada agenda reformasi Parlimen kerana ia menghadkan campur tangan perdana menteri dalam pentadbiran Parlimen.

Bermaksud, Parlimen diberikan autonomi mentadbir, menguruskan kewangan sendiri, dan tidak lagi duduk sebagai sebuah “jabatan” di bawah JPM seperti hari ini.

Malangnya, RUU Perkhidmatan Parlimen ini tidak berjaya dibentang dan diluluskan pada Parlimen ke-14.

Persoalannya, apakah RUU ini akan diluluskan kerajaan baharu selepas PRU15?

Secara asasnya, kemajuan ekonomi negara dan rakyat perlu selari dengan hasrat membina sistem demokrasi berparlimen yang kukuh supaya kekayaan negara diagihkan secara adil dan mampu membasmi ketirisan dan salah guna kuasa yang merugikan rakyat terbanyak.

Suka atau tidak, perubahan Parlimen ini juga bergantung kepada kesanggupan politik (political will) sesebuah kerajaan. Jika rakyat memilih pemimpin dan parti yang menyokongan agenda perubahan ekonomi dan institusi untuk membentuk kerajaan, sudah pasti pemerkasaan Parlimen dapat diteruskan.

Jika tidak, Parlimen akan menjadi alat kepada badan eksekutif berkuasa dan terus meminggirkan kepentingan rakyat.

Perjalanan Parlimen ke-14 boleh dijadikan sandaran dan iktibar buat pengundi membuat keputusan bermakna dalam PRU15.

Apa yang penting, agenda reformasi Parlimen adalah agenda nasional harus disokong semua parti politik dan rakyat. Dan, perubahan Parlimen tidak seharusnya bersifat kosmetik demokrasi semata-mata. – 12 Oktober, 2022.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen