KEKURANGAN tenaga kerja warga asing dalam sektor pembinaan sangat menjejaskan kontraktor kerana pekerja yang sedia ada sekarang mendesak gaji harian lebih tinggi, kata pemain industri.
Mereka berkata pekerja mendesak gaji hampir dua kali ganda dan majikan terpaksa bersetuju.
Masalah kekurangan buruh warga asing ini membantutkan perkembangan pemulihan ketika negara sedang beralih ke fasa endemik Covid-19, kata mereka.
Troy, seorang perunding projek di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, berkata keadaan ini menjadi trend dalam sektor pembinaan yang dibenarkan beroperasi selepas prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dilonggarkan.
“Sepanjang pandemik, ramai pekerja warga asing dihantar pulang dan kami tidak dapat menggantikan mereka.
“Kami menggunakan sumber tenaga yang ada, tetapi mereka sekarang desak gaji harian lebih tinggi.
“Biasanya mereka terima gaji antara RM80 hingga RM90 tetapi sekarang minta RM150 hingga RM200 sehari,” kata Troy kepada The Malaysian Insight.
Troy berkata dengan inflasi, kenaikan harga bahan binaan dan keadaan ekonomi yang menekan, kontraktor tidak dapat memenuhi permintaan pekerja.
“Permintaan gaji mereka itu lebih banyak daripada kebanyakan rakyat tempatan dapat setiap hari. Mereka boleh desak begitu kerana mereka ada kemahiran dan tahu kita perlukan mereka.
“Ada banyak masalah lain dihadapi pemain industri tetapi kekurangan pekerja mengubah keadaan dalam sektor ini sepenuhnya.
“Memandnagkan permintaan tidak dapat dipenuhi, ada yang mengambil kesempatan meminta gaji harian tinggi, di mana kami mendapati ia tidak munasabah kerana kebanyakan syarikat sedang pulih daripada kerugian sepanjang Covid-19,” kata Troy.
Minggu lalu, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata masalah kekurangan pekerja warga asing berpunca daripada menteri sebelum ini, M. Kula Segaran yang mengenakan moratorium terhadap pengambilan buruh dari Bangladesh pada September 2018.
Beliau berkata ia bertambah buruk dengan penutupan sempadan antarabangsa Malaysia pada Mac 2020 ketika pandemik melanda.
Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bangladesh pada Jun tahun ini, sementara MoU dengan Indonesia pada Julai.
Pada masa ini terdapat 1.2 juta pekerja warga asing di negara ini dan beberapa ribu lagi dijangka tiba dalam tempoh dua bulan akan datang.
Seorang penyelia tapak binaan, Wilson berkata kekurangan pekerja menyebabkan wujudnya “perang bidaan” bagi mendapatkan buruh sedia ada.
“Mereka akan pergi begitu saja jika kami tidak bayar gaji yang diminta. Semudah itu saja,” katanya.
Menjelaskan situasi itu, Wilson berkata dalam kebanyakaan keadaan, syarikat terpaksa memenuhi permintaan pekerja, yang ada meminta gaji hingga RM180 sehari.
“Kebanyakan pekerja warga asing dalam sektor ini dibekalkan oleh agensi buruh, maka kami sebagai kontraktor tidak ada kontrak pekerjaan dengan mereka.
“Situasi hampir sama dengan sistem pembantu rumah di negara ini, di mana bila pembantu rumah lari, tidak banyak yang dapat kita lakukan, kecuali kembali kepada agensi.
“Jadi di sini bila pekerja dapat tawaran lebih baik daripada kontraktor lain, mereka tidak akan teragak-agak untuk pergi.
“Ada yang akan berunding dulu dengan syarikat, tetapi kebanyakannya terus pergi bila dapat gaji lebih tinggi di tempat lain,” katanya. – 12 Oktober, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen