Putrajaya digesa permudah proses ambil pekerja asing


Kerajaan diminta mengembalikan proses pengambilan pekerja asing kepada Pusat Pertukaran Pekerja Pembinaan Bhd (CLAB) supaya proses kemasukan mereka dapat dipermudahkan lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2022.

PUTRAJAYA digesa supaya mengembalikan semula keseluruhan proses kemasukan pekerja asing kepada Pusat Pertukaran Pekerja Pembinaan Bhd (CLAB), ketika industri mengalami kekurangan tenaga kerja yang kritikal.

Sepuluh persatuan industri pembinaan dalam satu kenyataan bersama berkata gesaan itu dibuat bagi memudahkan lagi proses kemasukan pekerja asing.

Kenyataan itu menyebut CLAB harus dibenarkan menangani semua isu berbangkit berhubung pekerja asing tanpa membabitkan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“Kami meminta perdana menteri mengembalikan proses pengambilan pekerja asing ini kepada CLAB supaya proses kemasukan mereka dapat dipermudahkan lagi, malah sebenarnya ia adalah perancangan asal untuk industri ini,” kata kenyataan itu.

Ia ditandatangani Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Gabungan Kontraktor Bumiputera Wibawa Malaysia (GBC), Persatuan Kontraktor India Malaysia (PKIM), Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM),Pertubuhan Aekitek Malaysia (PAM) dan Institut Perancang Malaysia (MIP).

CLAB ditubuhkan pada 2003 oleh Jawatankuasa Kabinet Berhubung Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin sebagai pusat pemudah cara dalam pengambilan pekerja asing bagi sektor pembinaan.

Pada 2017, CLAB dijadikan syarikat penuh milik Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bertujuan memberi penekanan dalam menempatkan pekerja mahir tempatan bagi projek pembinaan.

Kenyataan itu seterusnya berkata kontraktor di seluruh negara ketika ini masih menunggu sumber tenaga kerja asing bagi membantu merancakkan kembali industri pembinaan, serta mahukan garis panduan yang jelas.

“Realitinya, industri sudah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan pekerja asing. Seharusnya masa untuk beratur panjang di KSM semata-mata untuk mendapatkan kuota pekerja asing tidak berlaku lagi.” – 30 September, 2022.     



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen