Kesatuan akan pastikan pelajar UIAM tunai tanggungjawab mengundi


Ravin Palanisamy

Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa dalam satu kenyataan berkata ia akan memainkan peranannya untuk memudahkan mahasiswa menunaikan tanggungjawab mereka, lebih-lebih lagi pilihan raya kali ini menyaksikan ramai pengundi muda keluar untuk mengundi buat kali pertama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2022.

BEBERAPA langkah perlu akan diambil bagi memastikan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menggunakan hak mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata kesatuan pelajarnya.

Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (KPUIAM) dalam satu kenyataan berkata ia akan memainkan peranannya untuk memudahkan mahasiswa menunaikan tanggungjawab mereka, lebih-lebih lagi pilihan raya kali ini menyaksikan ramai pengundi muda keluar untuk mengundi buat kali pertama.

“Dalam tempoh beberapa minggu ini, kerjasama akan dibentuk bersama kumpulan, gerakan, badan dan pihak berkuasa bekaitan bagi memastikan pengundi yang layak pulang ke kawasan mereka.

“Penyertaan dalam pilihan raya kali ini adalah satu cara untuk rakyat menyokong dasar bagi memenuhi keperluan mereka, serta memastikan mereka mempunyai hak untuk bersuara.

“Oleh itu, rakyat yang layak untuk mengundi berhak untuk berbuat demikian,” katanya.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam umum Parlimen dibubarkan berkuatkuasa semalam, bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Dengan pengumuman pembubaran itu, PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan kira-kira 1.2 juta pemilih berumur 18 hingga 20 tahun melalui pewartaan daftar pemilih tambahan pada Mei lalu, susulan penguatkuasaan had umur pemilih daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.

Menyifatkan pengumuman perdana menteri semalam sebagai mengejutkan, KPUIAM berkata pilihan raya umum kali ini akan memberi banyak cabaran ketika negara sedang mengalami fasa peralihan monsun. – 11 Oktober, 2022.     



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen