Tiada protes kos sara hidup buat masa ini, kata persatuan pelajar


Ravin Palanisamy

Presiden Kesatuan Pelajar UIAM Aliff Naif (baris depan, tengah) berkata kerajaan akan terus dipantau, terutamanya berkait isu yang memberi kesan terhadap mahasiswa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2022.

PROTES terhadap kerajaan tidak akan diadakan dalam masa terdekat berikutan kerajaan mula mengambil langkah menangani peningkatan kos sara hidup, kata persatuan pelajar.

Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Aliff Naif berkata walaupun protes yang dijadual diadakan esok dibatalkan mereka akan terus memantau tindakan kerajaan, terutamanya berkait isu yang memberi kesan terhadap mahasiswa. 

Persatuan pelajar daripada pelbagai universiti mengugut akan terus mengadakan protes jika kerajaan gagal menangani isu kenaikan kos sara hidup, selepas mereka turun ke jalanan pada 2 Julai lalu.

“Bagi pelajar, inisiatif kerajaan termasuk moratorium bayaran sewaan selama enam bulan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus akan memastikan harga makanan yang dijual pada harga yang rendah.

“Kemudian sekarang ada Menu Keluarga Malaysia di kampus yang dijual pada harga yang sangat berpatutan. Tetapi sudah tentu semua ini hanyalah rancangan jangka pendek.

“Kami alu-alukan usaha kerajaan ketika ini namun tidak bermakna kami sudah berpuas hati,” kata Aliff kepada The Malaysian Insight.

Pada 2 Julai lalu, seramai 200 orang terdiri daripada mahasiswa dan orang awam hadir ke program ‘Speakers Corner’ anjuran Gabungan Gerakan Mahasiswa di perkarangan Pasar Seni di Kuala Lumpur.

Gabungan itu membuat lima tuntutan, iaitu memotong gaji menteri, mengekalkan subsidi, menuntut bantuan kepada semua lapisan masyarakat, mengawal harga barangan dan menyelesaikan isu keselamatan makanan.

Gabungan Gerakan Mahasiswa pada 2 Julai lalu membuat lima tuntutan, iaitu memotong gaji menteri, mengekalkan subsidi, menuntut bantuan kepada semua lapisan masyarakat, mengawal harga barangan dan menyelesaikan isu keselamatan makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2022.

Susulan itu, dua hari kemudiannya Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad umum moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mulai bulan ini

Noraini berkata pelaksanaan itu akan membolehkan tanggungan kos sewaan berkenaan diserap, sekali gus mampu menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar.

Beliau turut mengumumkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 setiap hidangan akan diperkenalkan di bawah inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia, selaras dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri dalam satu kenyataan pada 4 Julai berkata kerajaan akan memperkenalkan ‘Menu Keluarga Malaysia’ di restoran koperasi, kafeteria serta premis jualan makanan di IPT sebagai alternatif bagi golongan sasar mendapatkan hidangan pada harga berpatutan.

Aliff berkata Menu Keluarga Malaysia akan berbeza mengikut universiti, dan perkara ini akan beliau bincangkan dengan pihak UIAM pada Isnin depan.

“Saya akan berbincang dengan pihak pentadbir UIAM pada Isnin.

“Bagi universiti lain, menunya berbeza-beza, bergantung kepada pelaksanaan universiti masing-masing.

“Setakat ini apa yang kami tahu di Universiti Putra Malaysia setiap hidangan Menu Keluarga Malaysia dijual pada harga RM3.50. Bagi saya itu sangat berpatutan bagi pelajar,” katanya. – 16 Julai, 2022.     

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen