Perak, Perlis akan mohon perkenan sultan, raja bubar DUN


HANYA Perlis dan Perak yang ditadbir Barisan Nasional (BN) setakat ini akan memohon perkenan sultan dan raja di negeri masing-masing untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selaras pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa hari ini.

Sementara negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) - Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan negeri di bawah kerajaan PAS - Kedah, Terengganu, Kelantan menetapkan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

Bagi negeri yang melaksanakan pilihan raya negeri (PRN) antara tempoh September 2020 hingga November lepas iaitu Sabah (26 Sept 2020), Melaka (22 Nov 2021), Sarawak (18 Dis 2021) dan Johor (12 Mac 2022) juga tidak akan membubarkan DUN mereka.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama dengan pembubaran Parlimen.

Susulan itu di PERAK, Menteri Besarnya Saarani Mohamad berkata beliau akan memohon perkenan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berhubung pembubaran DUN dalam masa terdekat.

“Tarikh pembubaran DUN bergantung kepada limpah perkenan Sultan Perak,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Di PERLIS, Menteri Besarnya Azlan Man memaklumkan DUN Perlis akan dibubarkan setelah mendapat perkenan daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan tarikh menghadap baginda akan dimaklumkan kelak.

Terdahulu di ibu negara, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Perhimpunan Agung MIC Ke-76 hari ini mengesahkan DUN Perak, Perlis dan Pahang akan dibubarkan sementara DUN Melaka, Johor dan Sabah tidak akan dibubarkan kerana belum mencapai tempoh matang.

Presiden Pas Abdul Hadi Awang dalam kenyataan hari ini juga mengulangi pendirian DUN Kedah, Terengganu dan Kelantan tidak dibubarkan dalam tempoh terdekat sebaliknya kerajaan negeri masing-masing menumpukan usaha persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda pertengahan November hingga Mac 2023.

Di KELANTAN, Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah berkata setakat ini kerajaan negeri tidak akan membubarkan DUN mereka walaupun Parlimen telah dibubarkan dan dijangka pembubaran DUN paling awal adalah Mac depan.

Yang Dipertua DUN Terengganu Yahaya Ali pula menegaskan kerajaan negeri itu tidak membubarkan DUN mereka sebaliknya akan memfokuskan kepada persiapan menghadapi risiko banjir dan pemulihan Covid-19.

Turut tidak membubarkan DUN ialah Sabah di mana Ketua Menterinya Hajiji Noor berkata kerajaan Sabah ketika ini di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN masih mempunyai tempoh tiga tahun lagi sebelum tamat tempoh.

Pada 5 Oktober lepas Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata Majlis Presiden PH menetapkan DUN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang hanya akan dibubarkan tahun hadapan.

Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besarnya Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri mengekalkan keputusan Majlis Presiden PH sebelum ini untuk tidak membubarkan DUN meskipun kerajaan Persekutuan membubarkan Parlimen hari ini.

Sementara itu di KEDAH, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri masih kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN Kedah.

“Parti dah buat keputusan dan jika ada perubahan juga parti akan putuskan,” katanya ringkas kepada pemberita hari ini.

Di SELANGOR, Speaker DUN Ng Suee Lim berkata setakat ini tidak ada perubahan berhubung pendirian kerajaan negeri itu untuk tidak membubarkan DUN Selangor susulan pengumuman pembubaran Parlimen yang berkuatkuasa hari ini.

“Kita kekal dengan tidak akan melakukan pembubaran DUN seperti yang ditekankan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sebelum ini dan kita akan lawan di Parlimen,” katanya. – Bernama, 10 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen