Agong perkenan bubar Parlimen, kata PM


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembuburan Parlimen menerusi siaran langsung di televisyen, petang ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Oktober, 2022.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan untuk membubarkan Parlimen ke-14, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Baginda memperkenan Dewan dibubarkan berkuatkuasa pada hari ini, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, katanya dalam siaran langsung di televisyen.

Menurutnya langkah itu bagi menamatkan kritikan ke atas keabsahan pentadbiran kerajaan yang bertukar dua kali sejak pilihan raya umum 2018.

“...(Al-Sultan Abdullah) bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022.

“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.”

Beliau juga menyarankan ketua-ketua kerajaan negeri membubarkan DUN mengikut tarikh sama dengan pilihan raya umum peringkat Parlimen yang akan diadakan.

Pengecualian bagaimanapun diberikan kepada Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor yang sudahpun mengadakan pilihan raya peringkat negeri dalam penggal ini.

“Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos,” katanya.

Perdana menteri juga berkata tarikh penamaan calon, pengundian dan urusan berkaitan akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Dengan pengumuman pembubaran itu, PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

“Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15,” kata Ismail.

Pakatan Harapan pada 5 Oktober memutuskan DUN di tiga negeri yang ditadbirnya – Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen.

Sehari sebelumnya, PAS juga memutuskan langkah sama bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai parti itu. – 10 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen