Naikkan had caruman KWSP cuma manfaatkan orang kaya, kata pakar


Raevathi Supramaniam

Pakar ekonomi berkata langkah Putrajaya meningkatkan had caruman sukarela KWSP kepada 100,000 setahun hanya beri manfaat kepada kumpulan berpendapatan tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2022.

LANGKAH Putrajaya meningkatkan had caruman sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada RM100,000 setahun daripada RM60,000 adalah langkah yang hanya akan memberi manfaat kepada kumpulan berpendapatan tinggi, kata pakar ekonomi.

Mereka berkata langkah itu boleh menjadi usaha KWSP untuk mendapatkan kembali berbilion-bilion yang dikeluarkan daripada dana persaraan dalam tempoh dua tahun lepas dan ia telah memberi kesan kepada sebahagian besar masyarakat yang tidak memperoleh pendapatan yang banyak.

Lebih banyak cara diperlukan untuk meningkatkan simpanan persaraan kumpulan yang terdedah dan langkah ini bukanlah langkah yang betul, kata mereka.

Pakar ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata langkah itu hanya menguntungkan golongan kaya.

“Mereka (KWSP) menyasarkan golongan super kaya, sesetengah orang hanya memperoleh RM60,000 setahun,” kata Yeah kepada The Malaysian Insight.

Yeah berkata caruman baharu boleh menjejaskan dana sektor swasta.

“Pencarum (yang berkemampuan) boleh menilai sama ada unjuran pendapatan dan dividen adalah lebih tinggi (dengan KWSP) daripada unit amanah atau dana persendirian lain dan menggunakan lebihan pendapatan mereka untuk ‘melabur’ dalam KWSP jika mereka mahu,” katanya.

Memandangkan pasaran kewangan global terjejas tahun ini Yeah berkata ia masih perlu dilihat sama ada KWSP boleh menjana jumlah dividen yang sama seperti tahun lepas.

Bagi 2021 KWSP mengisytiharkan dividen 6.10% untuk simpanan konvensional dan 5.65% dividen untuk simpanan syariah bagi 2021 — mengatasi 5.45% (konvensional) dan 5% (syariah) yang diisytiharkan dalam pra-pandemik 2019.

Sama ada ini adalah satu langkah untuk menambah dana KWSP Yeah berkata dana persaraan itu sebenarnya dipenuhi dengan wang tunai.

“Mereka memperoleh hampir RM2 bilion sebulan dan pada mulanya terdapat kebimbangan mengenai penumpuan dana yang berlebihan dalam KWSP… bahawa ia boleh menjadi terlalu besar untuk mengurus dengan cekap dan mengekalkan kadar dividen yang tinggi. Itu sudah tentu boleh berubah dengan pendedahan mereka kepada pasaran global dan mereka memerlukan lebih banyak dana untuk mengurus apabila mereka melabur di luar negara,” katanya.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan pada Belanjawan 2023 bahawa caruman sukarela KWSP telah dinaikkan.

Beliau berkata langkah ini akan membantu meningkatkan simpanan persaraan rakyat.

Pengeluaran KWSP semasa pandemik mengurangkan peratusan mereka yang mencapai simpanan persaraan minimum (dianggarkan RM240,000) daripada 36% pada 2020 kepada 27% tahun ini.

Melalui skim pengeluaran i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra RM101 bilion dikeluarkan daripada dana persaraan menjadikan 6.1 juta pendeposit mempunyai kurang daripada RM10,000. – 8 Oktober, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen