Dilema Belanjawan 2023: Lulus atau bubar Parlimen?


Fakhrurrazi Rashid

NAMPAKNYA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlaku tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sudah pun menyusun langkah ke Istana Negara bagi memberi tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong. 

Inilah realiti politik Malaysia apabila perhitungan politik dibuat sekerat pihak untuk mendapatkan kuasa tanpa mengambil kira kepentingan rakyat.

Ini juga kesan amalan politik lama yang menyerahkan kuasa besar membubarkan Parlimen di tangan seorang perdana menteri tanpa pendekatan lebih telus dan terbuka. 

Hari ini, rakyat masih terperangkap dan terpaksa menanggung beban percaturan politik berpikiran lapuk meskipun sudah masuk era baharu.

Dalam situasi ekonomi yang masih merudum, rakyat melihat Belanjawan 2023 ini penting untuk mengimbangi pendekatan jangka pendek dan panjang demi memulihkan ekonomi negara yang masih merasai kesan daripada krisis pandemik. 

Research for Social Advancement (Refsa), sebuah badan pemikir, turut menekankan kepentingan kerajaan Ismail Sabri meneruskan dasar pembangunan mampan dan pertumbuhan inklusif untuk menampung keperluan rakyat dalam Belanjawan 2023 agar masalah kos sara hidup dan krisis ekonomi dapat diatasi kerajaan dengan pendekatan lebih segar dan strategik . 

Tetapi, teka-teki yang bermain sama ada Belanjawan 2023 dibahas dan diluluskan pada sidang kali ini menimbulkan keresahan rakyat mengenai persedian kerajaan menghadapi cabaran ekonomi pada tahun hadapan.

Dan, jika Belanjawan 2023 tidak diluluskan segera sebelum pembubaran Parlimen, Ismail Sabri dilihat gagal menghitung implikasi buruk kepada rakyat berbanding keuntungan partinya sendiri. 

Pernah berlaku

Kali pertama insiden seperti ini berlaku pada 1999 apabila Belanjawan 2000 dibentang pada 29 Oktober 1999 tetapi tidak diluluskan memberi laluan kepada PRU10 dilaksanakan pada 11 November 1999.

Sedangkan, tamat penggal Parlimen ketika itu pada Jun 2000. 

Dua perkara berlaku sebelum PRU10. Pertama, krisis kewangan Asia yang menjejaskan ekonomi negara pada 1998.

Kedua, gelombang Reformasi disebabkan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.

Ramai yang mendakwa PRU10 diadakan demi menyekat gerakan Reformasi yang menggugat kedudukan kerajaan Barisan Nasional (BN), 

Disebabkan Belanjawan 2000 akan dibentangkan pada Februari 2000, satu sidang khas Parlimen diadakan selamat empat hari bagi meluluskan peruntukan tambahan untuk membayar gaji penjawat awam sebelum Belanjawan 2000 diluluskan. 

Soalnya, bukankah ini petanda membubarkan Parlimen sebelum belanjawan diluluskan hanya menggugat kelicinan pentadbiran negara?

Sebab itu, kes yang berlaku pada 1999 ini bukanlah satu amalan yang sepatutnya diulangi dan diikuti oleh Ismail Sabri demi memenuhi kepentingan presiden partinya untuk mengadakan pilihan raya segera. 

Ini kerana Malaysia bakal berhadapan cabaran ekonomi yang kritikal pada 2023.

Tanpa meluluskan belanjawan, ia menunjukkan seolah-olah Malaysia memasuki 2023 dengan “tangan kosong” tanpa perancangan yang kukuh untuk meningkatkan ekonomi rakyat.

Sudah pasti situasi ini hanya menambah  kegelisahan rakyat yang sudah tersepit dengan kos sara hidup yang kian melambung tinggi. 

Pembentangan belanjawan kerajaan negeri, yang selalunya berlaku selepas kerajaan persekutuan selesai membentangkan belanjawan di peringkat pusat, juga akan terjejas sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

Bukankah keputusan ini akan memberi implikasi besar kepada perancangan ekonomi negeri? 

Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan reformasi institusi dan politik seperti RUU Perkhidmatan Parlimen, RUU Sumbangan Politik, dan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menghadkan tempoh perdana menteri juga tidak akan diluluskan sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat. 

Ini akan menjejaskan agenda reformasi institusi yang perlu dilaksanakan segera bagi menepis isu-isu rasuah, integriti, dan salah guna kuasa dalam urus tadbir negara.

Peluang untuk melihat agenda ini dilaksanakan selepas PRU15 agak tipis kerana ia bergantung penuh kepada keutamaan kerajaan yang bakal dibentuk nanti.  

Tidak perlu terburu-buru

Ismail Sabri tidak perlu terburu-buru dalam mebuat keputusan.

Peringatan timbalan ketua pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang tidak menggalakkan PRU15 pada musim monsun timur laut, iaitu sewaktu musim banjir, harus menjadi rujukan penting perdana menteri melupakan sementara PRU15 dan fokus kepada Belanjawan 2023. 

Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) boleh menjadi sandaran untuk memberi ruang kepada kerajaan Ismail Sabri  meneruskan agenda pemerkasaan ekonomi sebelum Parlimen tamat tempohnya, meskipun ahli Parlimen kerajaan menarik sokongan terhadap dirinya. 

Bayangkan, jika Belanjawan 2023 dan 32 Rang Undang-Undang (RUU) yang sudah sedia untuk dibentangkan, seperti yang diberitahu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar diluluskan sebelum Parlimen tamat penggal, sudah pastinya Ismail Sabri akan diingati sebagai perdana menteri yang menyumbangkan perubahan kepada negara. 

Rekod yang baik ini juga boleh menandingi Ahmad Zahid Hamidi yang mempunyai reputasi kurang memberangsangkan dengan berpuluh-puluh kes di mahkamah dan menonjolkan dirinya sebagai calon perdana menteri yang tulen, bukan “poster boy” semata-mata. 

Tetapi, rakyat masih mempersoalkan reputasi Ismail Sabri yang hanya mewarisi kegagalan Muhyiddin Yassin dalam mentadbir negara.

Mungkin, ini juga menyukarkan dirinya untuk kembali ke Putrajaya sebagai perdana menteri. 

Walau apa pun, kerajaan Ismail Sabri perlu melihat keperluan membahas dan meluluskan Belanjawan 2023 pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Tindakan ini akan memberi mesej yang jelas bahawa kerajaan dan Ahli Dewan Rakyat masih peduli akan nasib rakyat dalam menempuhi keadaan ekonomi tidak menentu. 

Sekiranya tidak, beban rakyat akan bertambah dan ekonomi negara terdedah dengan pelbagai risiko menjejaskan pembangunan Malaysia.

Lebih buruk lagi jika peristiwa ini akan menghakis keyakinan rakyat kepada urus tadbir dan sistem demokrasi negara yang sukar diubati dalam tempoh jangka panjang.

Jadi, mana satu pilihan Ismail Sabri? Belanjawan 2023 atau PRU15? – 6 Oktober, 2022.  

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen