Apa pentingnya reformasi SPRM? 


Fakhrurrazi Rashid

PENDIRIAN Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki yang menyatakan SPRM tidak bebas menjalankan fungsinya jika diletakkan bawah Parlimen adalah sesuatu yang janggal. 

Azam turut menyatakan SPRM akan menerima lebih banyak tekanan politik sekiranya diletakkan bawah Parlimen. 

Pandangan ini bukan sahaja janggal, tetapi menunjukkan sisi anti demokratik pihak berkuasa ke atas institusi Parlimen negara. 

Persoalannya, wajarkah seorang KP SPRM ini memandang rendah kepada peranan Parlimen? 

Sejak skandal 1MDB, rakyat melihat SPRM hanyalah ‘sayap kanan’ parti kerajaan yang melindungi individu berprofil tinggi terkait dengan rasuah. 

Kekecewaan rakyat kian meningkat apabila SPRM sendiri lembap dalam mengambil tindakan dalam kes melibatkan ‘jerung’ besar seperti skandal kapal tempur pesisir (LCS) sehingga isu ini dipolitikkan dengan buruk sekali.  

Pandangan KP SPRM meremehkan peranan Parlimen tidak seharusnya berlaku. Dia mengetahui Jawatankuasa Kabinet Khas Anti Pencegahan Rasuah pada 2 September 2020 telah meluluskan pemberian kuasa kepada Parlimen melantik KP SPRM.

Cadangan meletakkan SPRM di bawah Parlimen juga telah dinyatakan dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019 - 2023. Namun, semua ini tidak dilaksanakan sehingga hari ini. 

Inilah realiti yang terpaksa dihadapi untuk mengangkat integriti di Malaysia. Sudah bertahun-tahun kerajaan menghabiskan wang rakyat untuk membangunkan perancangan menambah baik institusi awam seperti SPRM, tetapi semuanya dipinggirkan kerana tidak kena dengan selera satu dua pihak. 

Soalnya, apakah rasional melihat Parlimen sebagai institusi yang boleh mengatasi kelemahan SPRM? Mengapa ia dilihat sebagai agenda reformasi SPRM yang utama?

Parlimen pendekatan utama

Pertama, Parlimen dapat memastikan SPRM menjalankan peranan secara telus dan terbuka. SPRM hari ini yang menjadi sebuah ‘unit’ di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) hanya bertanggungjawab kepada perdana menteri sahaja. Ini adalah punca masalah kerana perdana menteri mempunyai pengaruh yang besar dalam urusan SPRM. 

Lihat sahaja bagaimana Azam Baki meremehkan proses Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Bagi Agensi-Agensi Bawah Jabatan Perdana Menteri dalam menyiasat pemilikan saham miliknya. Perdana menteri pula menyatakan KP SPRM tidak perlu hadir siasatan PSC.

Perkara ini memberi kesan buruk kepada usaha memerangi isu integriti, lebih-lebih lagi jika individu berprofil tinggi terlepas daripada hukuman akibat rasuah atau salah guna kuasa. 

Justeru, meletakkan SPRM di bawah pengawasan Parlimen adalah satu solusi mencegah pengaruh perdana menteri menggunakan SPRM untuk tujuan politik yang menguntungkan pihak eksekutif dan menekan musuh politik.  

Kedua, Parlimen boleh menyemak pelantikan KP SPRM bagi mengelak konflik berkepentingan dengan eksekutif. Seksyen 5, Akta SPRM 2009 sendiri menyebut bahawa KP SPRM dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri. Kaedah ini akan mewujudkan konflik berkepentingan antara KP SPRM dan perdana menteri.  

Proses pelantikan KP SPRM boleh ditambah baik dengan melaksanakan proses pendengaran prapelantikan KP SPRM di Parlimen. PSC yang dianggotai oleh ahli Parlimen pelbagai parti menyaring calon-calon KP SPRM. 

Kemudian, PSC akan membentangkan laporan prapelantikan untuk  dibahas oleh ahli Parlimen yang kemudiannya akan mengundi calon KP SPRM dengan  memerlukan majoriti dua pertiga.  

Mengapa majoriti dua pertiga? Kerana ia memerlukan sokongan rentas parti dalam Parlimen. Dan, ia tidak memberi jalan mudah kepada kerajaan untuk ‘veto’ pelantikan KP SPRM sewenang-wenangnya. 

Jika kerajaan mempunyai majoriti dua pertiga, sekurang-kurangnya proses pelantikan KP SPRM ini perlu melalui mekanisme lebih telus seperti pendengaran prapelantikan oleh PSC.

Dakwaan yang mengatakan tekanan politik Parlimen akan mencacatkan kebebasan SPRM juga adalah tidak berasas. Hakikatnya, SPRM sering menjadi mangsa ‘tekanan politik’ perdana menteri. 

KP atau pegawai SPRM yang cuba mendedahkan kes rasuah dan ketirisan melibatkan kerajaan sering diugut periuk nasinya, termasuk nyawa dan keselamatan keluarga.  

Perkara ini pernah berlaku kepada Mohd Shukri Abdul yang menerima ugutan keras kerana mendedahkan skandal 1MDB dan SRC International yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Soalnya, apakah tekanan politik tidak diperlukan kepada SPRM? Apakah beza tekanan politik Parlimen dan perdana menteri?

Menjadikan SPRM bertanggungjawab

Suka atau tidak, tekanan politik kepada SPRM amat diperlukan agar badan ini menjalankan fungsinya dengan cekap. 

Tekanan politik daripada Parlimen adalah pendekatan paling berkesan kerana ia bersifat telus dan terbuka. Sekiranya Parlimen menggunakan kaedah semak dan imbang dalam menilai gerak kerja SPRM, ia akan melahirkan sebuah badan pencegah rasuah yang lebih bertanggungjawab kepada rakyat dan negara.

Berbeza dengan tekanan politik daripada perdana menteri yang boleh menjejaskan reputasi SPRM dalam membuat kerja siasatan berpandukan kepentingan politik badan eksekutif. 

Hakikatnya, kebanyakan skandal rasuah dan ketirisan berleluasa kerana kelemahan institusi awam yang sering terdedah dengan tekanan politik perdana menteri.

Logiknya, tekanan politik daripada 222 orang ahli Parlimen lebih berkesan untuk menjadikan SPRM lebih bertanggungjawab berbanding tekanan politik seorang perdana menteri yang cenderung melakukan salah guna kuasa.

Reformasi SPRM adalah agenda nasional yang begitu penting untuk semua rakyat Malaysia demi memastikan isu rasuah dan ketirisan wang rakyat tidak diulang lagi pemimpin akan datang. 

Pelbagai harapan yang diletakkan ke atas Belanjawan 2023 dalam menyokong agenda reformasi institusi, khasnya SPRM, bagi menambah baik urus tadbir negara agar setiap dana rakyat dibelanjakan kepada golongan memerlukan, bukan dikaut untuk keuntungan beberapa pihak.

Namun, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi, reformasi SPRM ini tidaklah sesuatu yang diidamkan ahli politik dan mungkin kurang laku untuk ditawarkan kepada rakyat. 

Soalnya, selepas PRU15 nanti, adakah reformasi ini perlu diteruskan? Atau ia sekadar menjadi perhiasan dalam laporan-laporan kerajaan semata-mata? – 5 Oktober, 2022.     

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen