APABILA Rahim (bukan nama sebenar) dijemput menyertai kumpulan bual WhatsApp yang disertai militan Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) paling dihendaki, beliau tidak nampak ada salahnya.
Beliau sekadar menerima jemputan itu kerana perasaan ingin tahu tentang perjuangan dan aktiviti kumpulan pengganas itu.
Tanpa disedari, beliau kini berada dalam pengawasan polis dan dianggap potensi ancaman kepada negara.
Rahim disiasat kerana melindungi pengganas dan menyalurkan dana kepada mereka, tetapi nasib memihak kepadanya kerana tidak didakwa. Menurut polis, tiada bukti ditemui.
Sebaliknya, beliau dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan kerana memiliki gambar bendera IS dalam telefon bimbitnya.
Dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insight, Rahim menegaskan tidak terpengaruh dengan ideologi tersebut walaupun tahu individu yang berhubungan dengannya adalah militan IS
Rahim berkata, minatnya terhadap IS timbul apabila mula membaca tentang jihad melalui buku sejarah Islam dan kalifah.
“Pada mulanya, saya tak berminat dengan IS, tetapi saya makin tertarik dengannya kerana kumpulan pengganas itu mengaitkan diri mereka dengan khalifah,” katanya.
“Tetapi saya tak terpengaruh dengan ideologinya. Ya, saya marah kerana kekejaman yang berlaku di Syria, pembunuhan wanita dan kanak-kanak. Tetapi apa boleh buat?
“Mereka mengeluarkan hadis dengan harapan akan membuatkan saya tertarik menyertai mereka. Saya tak minat. Saya hanya mahu memahami situasi di Syria dan perjuangan mereka,” kata Rahim lagi.
Dalam masa beberapa tahun terlibat dalam kumpulan bual itu, beliau berhubung dengan anggota IS termasuk Abu Khattab, bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Lotfi Ariffn, Muhamad Wanndy Muhamad Jedi dan bekas pemusik Akil Zainal.
Lotfi terbunuh pada 2014 dan Wanndy terbunuh dalam serangan dron pada 2017. Kedua-dua mereka terbunuh di Syria.
“Saya berhubungan dengan Abu Khattab apabila dia kembali dari Syria. Saya ingat dia sudah bebas kerana dia mampu melepasi pemeriksaan keselamatan di Turki dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tetapi saya silap,” kata Rahim.
Rangkaian pengganas IS warga Malaysia akan berkongsi maklumat situasi di Syria dalam perbualan tersebut. Ia juga menjadi arena bagi mempengaruhi individu yang berminat tentang perjuangan IS.
Dalam kumpulan itu, Rahim mengetahui tentang Wanndy dan Lotfi. Beliau juga berkawan dengan Akil Zainal.
“Ketika itu, Wanndy bukan sesiapa lagi (pemimpin utama IS). Saya bertemu mereka semua kali terakhir pada 2015. Ada juga cubaan memujuk saya menyertai mereka di Syria, tetapi saya tak mahu pergi,” katanya, menambah yang Wanndy juga cuba mendapatkan dana daripadanya untuk ke Syria.
“Dia minta derma yang dikatanya atas nama agama tetapi tak pernah beritahu jumlah sebenar yang dia perlukan. Saya terpaksa tolak permintannya kerana duit yang saya ada adalah untuk orang miskin di kawasan saya.
“Jika saya beri duit itu kepada dia bermakna saya mengkhianati kepercayaan yang diberikan penderma yang mahu saya gunakan untuk tolong mereka yang memerlukan,” kata Rahim.
Sebulan selepas pertemuan terakhir itu, Rahim menonton sebuah video di Facebook berkaitan Wanndy. Dalam rakaman video 30 saat yang dipercayai dirakam di Syria, seorang lagi ahli IS warga Malaysia dari Gurun, Kedah, Mohd Faris Anuar dilihat memberi isyarat kepada kamera. Wanndy dipercayai orang yang merakam video itu.
Wanndy dipercayai menjadi dalang serangan bom di Movida, Kuala Lumpur pada 2016. Beliau mengecam pengganas tempatan yang gagal melaksanakan serangan itu dengan jayanya.
Sejak serangan Movida, Malaysia sudah berjaya menggagalkan enam serangan pengganas.
Selepas sembilan bulan dipenjara dan menjalani program pemulihan, Rahim, bapa kepada seorang anak perempuan berusia setahun kini mahu melupakan segala-galanya.
“Saya mahu fokus kepada keluarga saya dan komuniti,” katanya.
Rahim bernasib baik kerana keluarga dan rakan-rakan tetap berada disampingnya dan memberikan sokongan kepadanya sejak dibebaskan.
“Mereka tahu saya bukan anggota IS. Saya terjebak dalam perkara yang tak sepatutnya dan perasaan ingin tahu saya menyebabkan saya dalam masalah,” kata Rahim lagi.
Rahim adalah antara 372 orang yang ditahan sejak 2013 kerana didakwa terlibat dengan IS. 66 orang sudah dibebaskan. – 4 Mac, 2018.
Komen