PIHAK berkuasa Malaysia menumpaskan enam cubaan serangan pengganas IS di balai polis, kuil Hindu dan premis hiburan sejak dua tahun lalu, kata sumber risikan.
Sumber Bahagian Counter Terrorism berkata serangan itu dipatahkan selepas 40 suspek IS diberkas dalam beberapa operasi yang dijalankan seluruh negara sepanjang tempoh itu.
Serangan ke atas polis salah satu agenda IS berikutan badan penguatkuasaan itu menjadi penghalang kepada rancangan mereka.
IS bagaimanapun berjaya melakukan satu serangan di Malaysia pada Jun tahun lalu apabila dua pengganas bertindak membaling bom tangan di pusat hiburan Movida Puchong Selangor menyebabkan lapan cedera.
Dua lelaki – Imam Wahyudin , 21 dan Jonius Indie, 24 – dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun. Mereka mengaku menerima arahan serangan itu daripada anggota IS Muhamad Wanndy Mohamad Jedi dari Syria. Wanndy dilaporkan terbunuh di Syria pada Mei lalu.
“Di Asia Tenggara terutamanya Indonesia, Singapura dan Malaysia, sasaran biasanya balai polis, rumah ibadat dan premis hiburan.
“Mereka membalas dendam kerana polis memberkas ahli mereka. Bagi mereka, darah anggota polis adalah ‘halal untuk dibunuh’,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Sasaran utama mereka kini ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dilaporkan militan IS ini menggesa ahli mereka di negara ini menghapuskan Ayob, yang dianggap ancaman kepada kumpulan mereka di rantau ini.
Ayob bagaimanapun enggan mengulas berhubung perkara itu.
Penahanan terbaru anggota IS di Slim River, Perak bulan lalu di mana pihak berkuasa mengepung empat suspek, salah seorangnya warga Indonesia yang tinggal di negara ini sejak 2004.
Lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun itu merancang untuk meletupkan balai polis di Perak, kata sumber kepada The Malaysian Insight.
“Dia mempunyai hubungan dengan militan di Selatan Thailand dan menunggu bahan letupan ketika serbuan dijalankan.”
Suspek berasal dari Pasaman Barat, Sumatera Barat Indonesia berkahwin dengan warga tempatan, wanita berusia 53 tahun pada 2010 untuk menetap di Malaysia, kata sumber.
Katanya, suspek mula obses dengan IS pada 2014 dan menubuhkan kumpulan Telegram untuk menggesa pengikutnya menyertai Mujahideen Indonesia Timur (MIT).
Difahamkan kumpulan yang ditubuhkan suspek mempunyai 200 ahli di seluruh dunia termasuk dari Rusia.
Telegram merupakan aplikasi mesej percuma yang boleh dimuat turun untuk berkomunikasi dengan sesiapa saja di seluruh dunia.
Ia menjadi platform utama kepada ahli dan pejuang IS untuk berkomunikasi dengan pengikut mereka selain Whatsapp dan Facebook.
Walaupun datang dari pelbagai latar belakang, ia tidak menghalang warga Indonesia itu bertindak sebagai ketua untuk berkomunikasi dengan pengikutnya.
Risikan Malaysia mendapati warga asing dalam kumpulan itu menggunakan aplikasi untuk menterjemah mesej yang disampaikan.
“Dalam salah satu mesej, suspek menggesa “saudara” mereka menyertai MIT untuk membebaskan pekan Poso daripada Kristian dan menakluki Sulawesi Utara,” menurut sumber.
Sasaran utama suspek adalah untuk menubuhkan negara Islam menerusi peperangan.
Ia boleh dilihat dalam serangan terbaru di Indonesia apabila seorang anggota polis maut ditikam anggota IS. – 6 Julai, 2017.
-recent_arrests_is_in_malaysia-02.jpg)
Komen