Kebebasan bersuara yang terbinasa


Hadri Shah

PADA tahun 2017, muka Richard Spencer ditinju ketika dia diwawancara Australian Broadcasting Corporation.

Siapa Richard Spencer, lelaki tersakiti ini?

Richard Spencer seorang lelaki neo Nazi, anti-semitik dan pejuang berat ketuanan kulit putih Amerika. Dahulunya, Spencer seorang editor sebelum giat menjadi jurucakap gerakan haluan kanan.

Spencer pernah menjadi kepala perhimpunan Unite The Right di Charlottesville, Virginia yang mengorbankan seorang demonstran perempuan bernama Heather Heyer. Heyer berada di situ kerana memprotes idea ketuanan kulit putih yang dibawa Spencer dan kumpulan haluan kanan.

Spencer mengadvokasi penyusunan semula Kesatuan Eropah menjadi empayar kaum kulit putih. Dia percaya empayar ini berpotensi menggantikan identiti etnik Eropah yang pelbagai dengan satu “identiti putih” yang homogen.

Pengagum George Lincoln Rockwell (pengasas parti Nazi Amerika) ini menyokong penuh perhambaan orang Haiti oleh orang kulit putih dan penghapusan etnik kaum minoriti di Amerika Syarikat.

Ketika Donald Trump menang pilihan raya presiden Amerika Syarikat, Spencer riuh menyambut kemenangan itu dengan menyeru para penyokongnya berparti seperti ketika 1933 – era Hitler berjaya menawan Jerman.

Sejak kejadian mukanya ditinju dan masyhur tular di seluruh dunia, Spencer membatalkan kesemua jelajah ke universiti di seluruh Amerika.

Siapakah gerangannya yang melayangkan tumbukan padu tepat ke muka lelaki fasis ini?

Sehingga saat ini, pelakunya kabur. Tiada siasatan lanjut. Apatah lagi tangkapan. Pihak polis mengatakan tiada laporan dibuat.

Namun, besar kemungkinan aksi meninju muka lelaki fasis itu berkait rapat dengan perilaku ahli Antifa (anti fasis).

Ini kerana, lelaki yang meninju muka Spencer berpakaian dan bertopeng serba hitam mirip imej klasik ahli Antifa.

Antifa ialah sebuah gerakan tanpa hieraki yang aktif berjuang melawan fasisme, rasisme dan serangan terhadap golongan imigran.

Mark Bray, pensyarah-penulis buku Antifa: The Anti-Fascist Handbook mengatakan banyak kumpulan Antifa mengambil bahagian dalam bentuk penganjuran komuniti yang lebih aman, tetapi mereka percaya menggunakan keganasan adalah wajar kerana jika kumpulan perkauman atau fasis dibenarkan untuk bebas, “ia pasti akan mengakibatkan keganasan terhadap komuniti terpinggir,” (New York Times, June 2020).

Perjuangan Antifa adalah perjuangan yang terhormat. Ini sebuah kenyataan yang absolut.

Pada saat kaum imigran diganasi serta kumpulan minoriti rancak diancam sentimen-sentimen kebencian di setiap ceruk planet ini, Antifa hadir dengan sukarela mempertahankan mereka yang ditindas.

Mereka bukan saja mempertahankan kaum terpinggir di jalanan. Bahkan mereka menyediakan tempat perlindungan, makanan dan sebagainya.

Namun apakah tidak ada yang songsang tentang perjuangan ini sekiranya ia direspons dengan kekerasan fisikal saat seseorang itu membuka mulutnya?

Misalnya;

A mengatakan semua bangsa dan penganut agama lain adalah parasit dan mereka mesti dihalau keluar dari negeri. Harus diingat, A cuma berkata-kata. Dia mungkin seorang dungu yang tidak mengerti bahawa dunia ini sarat dengan keberagaman. Selain kedunguannya itu, belum ada dasar atau polisi atau tidakan keras mewakili kata-katanya. Adakah valid jika kenyataan A direspons melalui satu tumbukan tepat ke mukanya atas nama mempertahankan keselamatan warga lain?

B pula menulis sebuah novel mengenai Nabi umat akhir zaman. Kerana terasyik larut dalam fiksyen tanpa batas khayalan sendiri, karyanya diputuskan sebagai sebuah penghinaan maha dahsyat kepada Nabi umat akhir zaman. Harus kita sedar bahawa kerumitan karya fiksyen B yang dianggap provokatif itu cumalah sebuah novel; bukan sebilah pedang yang membunuh dan bukan juga sebuah paksaan memurtadkan umat. Adakah layak sebuah fatwa menghalalkan nyawa B diputuskan hanya kerana sebuah novel fiksi?

Manakala C, seorang netizen yang gemar ‘live’ di media sosial. Mungkin kerana ketagihan perhatian, atau sebenarnya teringin laris seperti Baby Shima, atau sememangnya dia benar-benar telah menemukan hasil pencariannya, C mengatakan Tuhan tidak wujud. Lebih teruk, C menggunakan bahasa kesat dan mencabar penonton setianya membuktikan keberadaan Tuhan. Sekali lagi, kewarasan adalah segala-galanya. Tidak ada korban selepas kenyataan C. Tidak ada tiang rumah ibadah yang dirobohkan. Azan masih berkumandang. Adakah atas nama tugas mempertahankan Tuhan, tubuh C layak dihenyak, diterajang sampai lunyai?

Sekiranya jawapan kita Ya kepada ketiga-tiga situasi diatas, maka besar kemungkinan kita adalah penganut soleh mazhab Will Smith.

Dalam mazhab ini, kekerasan dihalalkan. Malah ia dirayakan atas nama kudus pembelaan meski ia hanya bertembung dengan perkataan.

Dalam kegelojohan mereka membela dengan pedang kekerasan barangkali Mazhab Will Smith terlupa , sekian lama setiap jiwa yang hidup melata di bumi diberkahi dengan kebebasan mengekspresi perasaan dan idea.

Mereka berhak mengkritik, merespon balas melalui apa jua medium, kata-kata, tulisan, lukisan dan sebagainya selama mana kata-katanya, tulisannya atau lukisannya bukan berbentuk paksaan, keganasan fizikal, polisi dan dasar kenegaraan yang mengakibatkan eksploitasi, penindasan dan penderaan fisikal terhadap orang kebanyakkan.

Wayne Price seorang penulis falsafah anarkisme moden pernah menulis sebuah esei bertajuk “Do Anarchists Believe in Freedom?”. Price menghuraikan idea dan prinsip anarkisme dalam wacana kebebasan bersuara.

Dalam sub perenggan “What about the rights of Fascist?” Price berkata:“Pada 1930-an di Jerman, masalah sebenar Nazi bukanlah apa yang mereka katakan atau tulis. Masalah besar mereka ialah mereka membelasah kaum sosialis dan komunis yang menjual idea propaganda, mereka menyerang mesyuarat kesatuan dan parti sosialis, mereka membakar dewan kesatuan dan mereka membunuh golongan kiri dan juga liberal.

“Polis tidak akan menangkap mereka, atau jika mereka melakukannya sekalipun, hakim reaksioner akan melepaskan mereka dengan mudah. Ini jelas bukan kebebasan bersuara kaum Fasis. Malah ia adalah isu, dan sepatutnya menjadi justifikasi bagi golongan kiri untuk bersatu dan menghalau Nazi secara fizikal dari jalanan.”

Kemudian Price menyambung kemas, “Ia berbeza apabila berhadapan dengan Kelab Perbincangan Konservatif yang sebenar.

Bagi kami yang memanggil semua orang kanan sebagai “fasis” dan cuba memecahkan mesyuarat mereka adalah meletakkan diri kami dalam kedudukan yang palsu dan memalukan. Isunya bukanlah “kebebasan bersuara untuk reaksioner” lebih-lebih lagi hak untuk perbicaraan yang adil ialah “kebebasan sivil untuk penjenayah”.

Kita mahukan kebebasan bersuara untuk diri kita sendiri, oleh itu kita mesti mempertahankannya untuk orang lain, walaupun mereka yang kita benci.

Begitu juga dengan kebebasan bersuara untuk Komunis, Maois, dan Trotskyis ortodoks, yang akan, selepas semua, menubuhkan negara totalitarian dan melemparkan kita ke dalam penjara, jika boleh.

Namun serangan terhadap kebebasan bersuara mereka, oleh kerajaan atau sesiapa sahaja, adalah serangan ke atas seluruh kiri, terhadap semua orang.

Wacana kebebasan bersuara sudah lama bergema.

Namun ia seperti sulit untuk diseragamkan. Lagi-lagi dalam dunia sekarang yang terlalu sarat dengan kekeliruan dan keresahan yang tak berkunjung siap.

Namun, selagi mana kita, sebagai bangsa yang dianggap merdeka gagal menghampirkan diri ke arah kesempurnaan menerima dan menghormati tema kebebasan, selama itu jugalah kita akan bersepakat, atas nama mempertahankan setiap subjek yang diperjuangkan akan ada kekerasan fizikal yang kita utamakan.

Ketinggian moral tidak dilihat dari apa yang disampaikan. Bahkan ia akan terbukti sakti dari cara umat manusia menerima kata-kata dari seorang seseorang walaupun dia seorang manusia paling dibenci seluruh alam semesta. – 4 Oktober, 2022.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen