Ada sambutan untuk Pakatan di Pekan, tapi tidak cukup kuat


Radzi Razak Kamles Kumar

Hampir 1,000 penduduk dan penyokong memenuhi tapak ceramah Pakatan Harapan di Felda Chini 2, Pekan, Pahang yang julung kali diadakan malam tadi, kebanyakannya mahu melihat sendiri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Mac, 2018.

HUJUNG penjuru jalan sepi di Felda Chini 2 berubah menjadi meriah apabila hampir 1,000 penduduk dan penyokong, kebanyakannya peneroka mengabaikan ugutan dan tekanan daripada penyokong kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menemui Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad.

Keadaan di tapak ceramah yang baru ditebas dan dilenyek lalangnya dua hari lalu dan masih lengang pada jam 8.30 malam berubah selepas kehadiran Dr Mahathir pada 9.15 malam.

Hadirin mula dilihat duduk bersila di atas jalan raya dan tanah merah tanpa alas selepas kira-kira 200 kerusi yang disediakan penganjur dipenuhi dalam tempoh yang singkat.

Bagaimanapun selepas tinjauan, hanya sebahagian daripada hadirin merupakan penduduk jati kawasan Felda itu.

Kira-kira 40% pula merupakan orang luar, termasuk penyokong parti PH yang hadir memberi sokongan padu kepada pengerusi mereka.

Bagi penduduk jati kawasan itu, sebahagian memberi keyakinan positif dan gembira dengan kehadiran Dr Mahathir yang dilihat sebagai senjata utama PH bagi menarik sokongan pengundi Felda.

Seorang pengusaha kedai makan yang hanya mahu dikenali sebagai Maznah berkata beliau dan keluarganya yang terdiri daripada dua generasi peneroka tidak peduli langsung dengan ugutan pihak yang tidak mahu Dr Mahathir hadir ke felda itu.

“Orang sekarang dah tak peduli dah. Memang ramai nak turun jumpa dia,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.

Beliau yang membahasakan diri sebagai “kakak” berkata kedai makannya yang menjadi tumpuan pekerja kilang memproses sawit ditutup awal petang untuk menghadiri ceramah pembangkang yang julung kali diadakan di kawasan itu.

“Saya tutup kedai jam 5 petang, lepas tu akan ke sana,” katanya yang tinggal kira-kira 2km dari kawasan ceramah.

Sementara itu, Yahya Abdullah yang bekerja di Felda Chini 4 berkata beliau hadir bersama dengan keluarga adiknya yang kini bermastautin di Kedah untuk menghadiri ceramah ini.

“Saya tunggu adik saya yang tinggal di Kedah untuk datang sekali tengok Tun,” katanya yang ditemui di kedai makan itu.

Bagaimanapun, kebanyakan penduduk jati Felda Chini tidak mahu memberi jawapan jelas dan ada yang menolak terus temuramah dengan wartawan.

Bagi peneroka Felda Chini 2 yang hanya mahu dikenali sebagai Mazuin, beliau mengaku lebih selesa dengan BN walaupun pengurusan Felda dibelenggu dengan pelbagai masalah.

“Saya suka dan hormat Tun Dr Mahathir, tapi itulah. Tapi setakat ni undi saya masih BN,” kata peneroka generasi pertama itu.

Sambutan terhadap ceramah Pakatan Harapan di Felda Chini 2, Pekan dianggap suam saja, susulan ramai peneroka takut hilang bantuan, tekanan daripada BN dan ramai menghadiri program lain yang turut diadakan malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Mac, 2018.

Seorang lagi peneroka generasi pertama, Abdulrohman Salim berkata beliau berasa terhutang budi dengan BN kerana memberikan beliau sekeping tanah untuk mencari rezeki.

“Kedua-dua pihak ada kelebihan dan kekurangan. Pakatan juga ada banyak masalah macam pembahagian kerusi. Saya takut jika mereka menang, tak tersusun kepimpinan dan jadi caca-merba,” katanya.

Pengarah Badan Kajian Ilham Center Hisommudin Bakar yang turut menghadiri forum itu mengakui sambutan acara itu agak “suam-suam kuku”.

Beliau berkata selain faktor takut kehilangan bantuan dan tekanan daripada BN, kebanyakan peneroka turut menghadiri beberapa program lain seperti karnival yang dikatakan dianjurkan pihak berkaitan parti pemerintah itu.

“Saya lihat sambutan di Felda Chini hari ini masih suam, tidak terlalu ramai yang hadir.

“Antara faktornya ialah rasa takut untuk ke acara Dr Mahathir di sini. Di samping itu juga terdapat tujuh acara yang diadakah BN di sekitar pekan pada hari sama. Saya lihat sokongan kepada Pakatan masih kurang,” katanya kepada The Malaysian Insight selepas tamat acara itu.

Acara tamat pada jam 11.15 malam tanpa sebarang insiden dan kawasan itu kembali sunyi beberapa minit kemudian.

Felda merupakan kubu kuat BN dalam setiap PRU sebelum ini dengan BN mempunyai kelebihan kepada hampir semua 54 kerusi Parlimen di kawasan itu.

Penganalisis politik bersetuju PH memerlukan penambahan antara 10% hingga 15% undi Melayu di kawasan Felda jika mereka mahu menewaskan BN dalam PRU depan.

Najib bakal mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak 1976 dengan majoriti selesa lebih 26,000 dalam PRU lepas. – 1 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • memang tak kuat la. ingat orang nak percaya ke dengan pakatan ni? semua ada agenda tersendiri. konon bersatu bawah satu payung. tu semua wayang je. penerimaan dap terhadap ppbm pun berbayar. bukan terima saja2. nak kata apa?

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan