Pendirian GTA tarikh bubar Parlimen selepas dipersembahkan kepada Agong, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad berkata, gerakan itu berpendapat sepatutnya PRU15 tidak diadakan pada waktu banjir besar dan angin kencang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2022.

GERAKAN Tanah Air (GTA) akan menyatakan pendirian mengenai cadangan tarikh pembubaran Parlimen selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi penajanya Dr Mahathir Mohamad berkata selepas itu juga, GTA akan membuat keputusan sama ada membantah atau menyokong tarikh pembubaran Parlimen yang akan membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

“Kita berpendapat sepatutnya PRU15 diadakan pada waktu kita tidak menghadapi banjir besar dan angin kencang supaya semua pengundi selamat dan boleh mengundi dengan baik,” katanya pada sidang media selepas program Suara Tanah Air di Cyberjaya hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, Majlis Tertinggi (MT) parti itu mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini dan Ismail Sabri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memaklumkan proses pendaftaran gerakan itu tidak dapat dipercepatkan kerana terdapat lebih 30 parti politik turut membuat permohonan, namun RoS memberi pengakuan GTA tiada masalah untuk didaftarkan.

Dr Mahathir juga berkata, GTA bercadang untuk menampilkan lebih 30% calon muda pada PRU15. – Bernama, 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen