GTA perlu menang PRU15


KITA perlu akui belum cukup matang dalam mentadbir politik. Kepentingan politik kepartian dalam mana-mana parti mendahului kepentingan negara apabila kartel politik ini sanggup bekerjasama dengan parti yang kalah hingga menyebabkan politik negara kacau bilau dan hilang kestabilannya. 

Ketidakstabilan ini akhirnya menjejaskan rakyat dan negara.

Mohamed Azmin Ali dan Muhyiddin Yassin berpakat dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan atas nama untuk kepentingan rakyat dan negara.

Tetapi tanpa disedari, mereka mengkhianati mandat rakyat yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Dr Mahathir Mohamad dalam PRU14 yang lalu.

Begitu juga dengan Anwar Ibrahim; beliau mengumumkan secara terbuka apabila mendapat sokongan termasuk daripada Umno untuk menubuhkan kerajaan, juga atas nama kepentingan rakyat dan negara sedangkan Anwar lupa rakyat menolak Umno dalam PRU13 yang lalu.

Walaupun usaha beliau gagal, namun Anwar terus kerjasama menerusi MoU dengan kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional (PN) /Barisan Nasional (BN). 

Ini juga langkah yang tidak menghormati mandat rakyat dalam PRU14 lalu.

Sungguhpun kedua-dua blok politik PN dan PH ini menggunakan nama “atas kepentingan rakyat” tetapi kita boleh menilai secara prinsip, siapa sebenarnya yang beretorik. Tanpa sedar kedua-dua blok politik ini dipergunakan oleh Umno.

GTA perlu menang dalam PRU15 ini untuk mengembalikan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik kepartian.

Justeru, GTA bergerak bersama kumpulan NGO dan individu yang bukan parti politik agar kartel-kartel politik ini tidak lagi bermaharajalela hingga menyebabkan politik dan pentadbiran negara tidak stabil. 

GTA adalah gerakan rakyat yang akan ditadbir oleh rakyat, bukan parti politik.

Sekalipun tugas ini sukar dan hampir mustahil, kita tetap yakin usaha ini akan dapat dilakukan dengan keyakinan dan kerja keras.

Dengan izin Allah kita akan berjaya. – 30 September, 2022.

* Mahdzir Ibrahim, timbalan ketua Penerangan GTA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen