Polis berjaya selamatkan ejen produk kosmetik diculik


Ejen jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air hari ini atas hasil usaha PDRM dan polis Thailand, kata ketua polis negara. – Gambar Facebook, 29 September, 2022.

SEORANG ejen jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim,  yang diculik oleh sekumpulan lelaki di rumahnya di Tumpat, Kelantan, pada 13 September lepas berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air hari ini.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan malam ini, berkata mangsa berusia 36 tahun itu diselamatkan melalui kerjasama dan perkongsian maklumat dan perisikan antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand yang berjaya mengesan lokasi keberadaan mangsa di negara itu.

Beliau berkata PDRM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Thailand dan Kedutaan Malaysia di negara berkenaan atas kerjasama dan bantuan dalam usaha menyelamatkan mangsa.

Menurutnya, tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes berkenaan dan mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961.

Acryl Sani berkata sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk menculik mangsa turut dirampas.

Dalam kejadian 13 September lepas, mangsa diculik oleh  beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada jam 5.10 petang.

Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek. – Bernama, 29 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen