MUSLIMAT PAS menganggap perjanjian baiah melibatkan taklik talak tiga sebagai satu pelaksanaan yang baik dan ia menunjukkan peranan cukup besar wanita dalam politik.
Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata mereka tiada masalah dengan pelaksanaan perjanjian baiah taklik talak tiga kerana ia sebenarnya dapat mengukuhkan kepimpinan parti Islam itu.
“Dulu pernah ditanya kita dilihat ia cukup bagus untuk ikat calon PAS dan di situ kita lihat wanita beri peranan cukup besar untuk survival (politik).
“Kita lihat peranan itu bukan main-main,” katanya ketika Majlis Ramah Mesra Muslimat PAS di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.
Katanya, perjanjian baiah amat penting kerana ia menunjukkan parti Islam itu komited dalam soal kepimpinan untuk menerajui negara.
“Kita yakin apa dibawa oleh tok guru (Nik Aziz) telah nampak keberkesanan.”
Sebelum ini, media melaporkan wujud cadangan mengugurkan keperluan baiah talak tiga untuk dilafazkan calon Pilihan Raya Umum ke 14 namun ia perlu dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama.
Ketuanya Dr Mahfodz Mohamed berkata, keputusan tersebut diputuskan susulan parti Islam itu tidak lagi berdepan keadaan genting seperti pernah berlaku dalam politik Kelantan.
Pelaksanaan baiah melibatkan taklik talak tiga hanya melibatkan negeri Kelantan.
Bagaimanapun Nuridah berkata setakat ini penyelarasan baiah masih belum dimuktamadkan di peringkat pusat.
“Belum putus lagi, kita masih nak selaraskan dari peringkat pusat masih belum dibawa atau macam mana kita nak tentukan isi baiah.”
Tambahnya, perjanjian baiah membabitkan taklik talak tiga hanya terpakai pada wakil rakyat lelaki, bukan wanita.
Sementara itu, Muslimat PAS turut mengulas mengenai sokongan kaum Cina ke atas parti Islam itu.
Nuridah berkata, PAS yakin sokongan kaum bukan Melayu tidak berubah walaupun parti Islam itu melaksanakan undang-undang Islam.
“Dakwaan pengundi Cina tidak akan menyokong PAS kerana RUU 355 hanya satu pandangan. Kita tahu orang Cina bermaklumat.
“Hal ini kerana, sekiranya RUU 355 ini dilaksanakan ia tiada sangkut paut dengan bukan Muslim.
“Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) beri penerangan dalam hal ini bahawa orang baik tidak perlu takut, implementasi itu kepada orang bersalah sahaja,” katanya. – 28 Februari, 2018.
Komen