PAS bercadang untuk melonggarkan syarat kepada calon pilihan raya partinya dengan menggugurkan keperluan melafaz ikrar menceraikan isteri dengan talak tiga.
Ketua Dewan Ulama PAS, Dr Mahfodz Mohamed berkata cadangan itu dibuat memandangkan kesetiaan ahlinya kini semakin kukuh.
“Oleh kerana kita sudah tidak lagi berdepan suasana genting seperti di Kelantan, kita akan selaraskan di seluruh negeri dan kemungkinan tidak akan ada lagi baiah membabitkan perceraian suami isteri,” katanya seperti dipetik dalam laporan Berita Harian hari ini.
Keadaan itu tidak lagi genting kerana PAS menguasai 38 daripada 45 kerusi DUN dalam pilihan raya umum 2013 berbanding majoriti kecil hanya dua kerusi dalam pilihan raya umum 2004.
Laporan itu turut memetik kenyataan naib presiden PAS Idris Ahmad yang menegaskan, cadangan itu perlu dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama.
Jelasnya, cadangan tersebut perlu diputuskan bersama badan tertinggi yang berperanan menafsir, menjelas dan menghuraikan dasar Perlembagaan parti Islam tersebut.
Beliau berkata, perbincangan daripada segala sudut pelaksanaan baiah bukan perkara baru kerana isu tersebut oleh Majlis Syura Ulama sejak amalan itu dilaksanakan tiga tahun lalu.
Amalan baiah dalam PAS itu mendapat kritikan meluas, antaranya oleh pengkaji gerakan politik Islam Dr Mazlee Malik.
Beliau berkata amaran PAS kepada ahlinya untuk tidak melanggar ikrar setia bai’ah sekiranya mahu kekal selamat menunjukkan parti itu mempolitikkan agama untuk melahirkan anggota yang taksub.
Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kedah, Phahrolrazi Zawawi juga membidas sumpah baiah diamalkan PAS yang dianggap memberi implikasi negatif kepada dua pihak, selain memperlihatkan pendekatan ekstrem parti itu.
Mahfodz bagaimanapun berkata, ia bukan pendekatan ekstrem tetapi satu mekanisme dan pendekatan itu juga diamalkan sejak zaman Rasulullah.
Manakala Idris pula mendakwa amalan baiah itu adalah cetusan idea daripada mursyidul am PAS sebelum ini, allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Apabila Tok Guru Hadi (Presiden, Abdul Hadi Awang) bertanya dengan Tok Guru Nik Aziz (mengenai sumpah baiah talak tiga), dia (Nik Aziz) beritahu ada hujah, kitab tafsir ada sebutkan kisah dalam Mazhab Hanafi bahawa baiah dikaitkan dengan satu taklik.
“Tok Guru Hadi buka kitab dan memang ada hujah mengenai sumpah baiah itu,” katanya.– 11 Februari, 2018.
Komen