Pendakwaan mahu tempoh hukuman penjara Lokman Adam ditambah


Lokman Noor Adam dihukum penjara sebulan kerana mengugut seorang saksi dalam perbicaraan kes berkaitan 1MDB yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2022.

JABATAN Peguam Negara (AGC) mahu hukuman penjara lebih keras terhadap Lokman Noor Adam kerana mengugut saksi kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar berkata pihak pendakwaan memohon hukuman penjara tiga bulan terhadap bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu dan berpendapat hukuman sebulan sekarang tidak mencukupi untuk menunjukkan keseriusan kesalahan itu.

“Hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi perlu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya tiga bulan bagi menunjukkan keseriusan kesalahan itu.

“Kita perlu melindungi kepentingan awam dan maruah pentadbiran keadilan. Tingkah laku responden (Lokman) menjejaskan perkara ini.

“Hukuman itu perlu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya tiga bulan,” katanya kepada mahkamah.

Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Lokman berhujah anak guamnya hanya menjalankan tugas awam apabila membuat laporan polis terhadap Amhari Effendi Nazaruddin.

“Laporan polis tidak boleh dianggap sebagai menghina.

“Anak guam saya membuat laporan itu selepas saksi (bekas pegawai khas Najib, Amhari Effendi Nazaruddin dan saksi ke-8 dalam kes 1MDB) mengaku menerima wang daripada ahli perniagaan buruan Low Taek Jho.

“Bagaimana ini boleh menjadi intimidasi?” katanya kepada mahkamah.

Anggota tiga panel yang diketuai Kamaludin Md Said kemudian menetapkan 3 Oktober untuk pengurusan kes.

Perbicaraan hari ini adalah berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lepas yang menjatuhkan Lokman hukuman penjara sebulan.

Mahkamah mendapati beliau bersalah atas tuduhan menghina kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak. – 29 September, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen