Lokman Adam dihukum penjara sebulan, hina mahkamah ugut saksi kes 1MDB


Lokman Noor Adam didapati bersalah menghina mahkamah susulan tindakannya mengugut saksi kes 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2021.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas Lokman Noor Adam selepas didapati bersalah menghina mahkamah susulan tindakannya mengugut saksi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Keputusan dijatuhkan oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah berkuat kuasa hari ini, lapor media.

Pelaksanaan hukuman bagaimanapun ditangguhkan atas permohonan peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah kemudian mengenakan bon jaminan RM3,000 ke atas Lokman dengan seorang penjamin.

Bekas ahli Umno itu didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada September 2019.

Lokman dalam satu temu bual didakwa mengeluarkan perkataan yang bersifat ancaman dan ugutan kepada Amhari Effendi yang memberi keterangan dalam perbicaraan ke atas Najib di Mahkamah Tinggi.

Lokman juga membuat laporan polis terhadap Amhari berhubung keterangannya di mahkamah.

Tindakannya itu dilihat cuba mengganggu dan menakut-nakutkan saksi dalam kes terhadap Najib.

Pada 22 Oktober 2019, pguam negara Tommy Thomas pada masa itu mendapat kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding hina mahkamah terhadap Lokman.

Lokman merayu untuk membatalkan kebenaran itu tetapi ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. – 15 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen