PASUKAN pencari telah menjumpai mayat pendaki gunung ski Amerika Syarikat (AS) Hilaree Nelson yang hilang di lereng puncak Manaslu di Himalaya, Nepal.
Nelson tergelincir dan hilang ketika menuruni dengan ski gunung kelapan tertinggi di dunia itu, selepas berjaya mendaki puncak bersama pasangannya Jim Morrison pada Isnin.
Morrison mengetuai operasi mencari dan telah menaiki helikopter pada Rabu untuk meneruskan usaha mengesan Nelson.
“Pasukan pencari yang pergi pagi ini menaiki helikopter melihat mayatnya dan membawanya pulang,” kata penganjur dari Shangri-La Nepal Treks, Jiban Ghimire kepada AFP.
Ghimire berkata, mayat Nelson dibawa ke kem pangkalan puncak sebelum diterbangkan ke Kathmandu.
Nelson, 49, disifatkan oleh penajanya, The North Face, sebagai “pendaki gunung ski paling prolifik dalam generasinya”.
Sedekad yang lalu, beliau menjadi wanita pertama yang mendaki kedua-dua gunung tertinggi di dunia, Everest, dan puncak Lhotse dalam tempoh 24 jam.
Enam tahun kemudian, beliau kembali ke Lhotse dan membuat turunan ski pertama di gunung itu, yang memberikannya anugerah Pengembara Terbaik National Geographic.
Dalam catatan di Instagram minggu lalu, Nelson berkata pendakiannya yang terbaharu amat mencabar kerana “hujan yang tidak henti-henti” dan keadaan berbahaya.
“Saya tidak berasa yakin dengan Manaslu seperti yang saya rasa pada pengembaraan lalu,” tulis Nelson dalam catatan pada Khamis.
“Minggu-minggu lepas telah menguji daya tahan saya dengan cara baharu.” – AFP, 28 September, 2022.
Komen